Berita perletakan jawatan Zinedine Zidane sebagai pengurus Real Madrid jelas mengejutkan ramai pihak.
Mana tidaknya, ianya berlaku hanya selepas seminggu pasukan tersebut merangkul gelaran ke-13 UEFA Champions League (UCL) tempoh hari.
Zidane yang meninggalkan Real Madrid selepas menggantikan Rafael Benitez yang dipecat menyifatkan pemergian beliau adalah perlu demi kemajuan Real Madrid itu sendiri.
Hal ini kerana menurut beliau, pasukan seperti Real Madrid seharusnya menjadi pasukan yang terus menerus mencatat kemenangan dalam apa jua perlawanan.
“Keputusan saya untuk meletakkan jawatan sebagai pengurus Real Madrid adalah kena dengan masanya untuk diri saya, skuad dan juga kelab ini sendiri.”
“Saya tahu ianya pelik, akan tetapi saya pasti keputusan ini harus dilakukan pada masa ini.”
“Pasukan ini seharusnya memenangi setiap perlawanan, dan kerana itu perubahan perlu dilakukan untuk terus menang.”
“Selepas 3 tahun mendengar ucapan yang sama, perubahan perlu dilakukan. Begitu juga dengan cara kerja, selepas 3 tahun ia perlu diubah. Oleh kerana ini keputusan ini dilakukan.”
“Saya ingin ucapkan terima kasih kepada kelab dan juga presiden kerana memberikan saya peluang untuk menjadi pengurus Real Madrid.”
Perubahan yang dimaksudkan berkemungkinan melibatkan masalah prestasi Real Madrid pada saingan domestik musim ini.
Dalam saingan domestik, Real Madrid gagal memberikan saingan sengit dalam saingan Copa Del Rey dan hanya mampu menduduki kedudukan ke-3 di belakang Barcelona dan Atletico Madrid.