Jika ada pasukan bola sepak yang mempunyai nilai sejarah gemilang bagaikan khazanah berharga, ia pastinya Selangor.
Artikel ini bukan untuk menafikan sumbangan kelab dan pasukan negeri lain. Namun Selangor atau The Red Giants terlalu sinonim dengan sejarah bola sepak negara.
Singkap kembali
Juara Piala Malaysia 33 kali, Selangor. Pasukan yang sinonim dengan legenda bola sepak negara, SuperMokh juga Selangor.
Begitu juga ketika legenda bola sepak dunia, Maradona dan Boca Juniors yang bertandang untuk berhadapan dengan Selangor pada 1982, sebelum kelab-kelab utama Eropah seperti Bayern Munich dan Manchester United turut melihat kepada Selangor sebagai langkah promosi kelab masing-masing di negara ini.
Sebenarnya banyak lagi kisah lain mengenai pasukan bola sepak Selangor yang memiliki nilai sentimental tinggi kepada penyokongnya tanpa mengira usia. Begitu juga kawan dan lawan.
Deretan pemain berstatus legenda, juga perlawanan-perlawanan epik dalam pertandingan domestik membabitkan Selangor pasti masih terpahat di dalam memori setiap kita tanpa mengira warna bendera.
Kemelut
Kita semua tahu apa yang berlaku sejak beberapa musim yang lalu. Bermula dari krisis dalaman pentadbiran sehingga mantan Presiden, Dato’ Seri Mohamed Azmin bin Ali meletakkan jawatan.
Selepas itu, ia semakin sukar buat FAS. Tiada dana daripada kerajaan negeri sebagaimana yang dinikmati dalam musim-musim sebelumnya, FAS turut hilang pusat latihan yang pada mulanya dikatakan dibina khas untuk mereka.
Tidak boleh beraksi di gelanggang keramat, Stadium Shah Alam bukanlah kemuncak kepada permasalahan yang dialami oleh FAS.
Persatuan tersebut turut dilaporkan bergelut untuk membayar gaji pemain, dan berada di dalam keberhutangan sejak dua bulan yang lalu.
Perkara tersebut disahkan sendiri oleh Presiden, Datuk Subahan Kamal yang berjanji akan melunaskan gaji setiap pemain pada hari ini.
Kepimpinan baharu
Datuk Subahan Kamal sebenarnya bukanlah calang-calang individu di dalam arena sukan negara.Namun demikian, beliau terpaksa melepaskan FAS kerana mahu memberikan lebih tumpuan untuk sukan hoki negara.
“Iya, saya akan memberitahu ahli gabungan berkenaan hasrat saya meletak jawatan Khamis ini. Ketika ini, saya mempunyai banyak komitmen kerana saya juga presiden Konfederasi Hoki Malaysia (MHC) dan timbalan presiden Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM).
“Dalam hoki, saya mahu memberi tumpuan bagi membantu Malaysia layak ke Olimpik Tokyo 2020. Selain komitmen dalam sukan, saya juga perlu memberi tumpuan kepada perniagaan,” ujar usahawan tersebut beberapa hari yang lalu.
Mari kita melakukan perkiraan yang jujur. Hakikat bahawa pasukan seperti Selangor yang memiliki rekod yang baik dalam isu pembayaran gaji pemain kini turut terpalit, menunjukkan FAS bergelut dengan kedudukan kewangan.
Ia isyarat jelas bahawa Selangor perlu melakukan perubahan besar dalam persatuan itu sendiri.
Kalau bukan sekarang, bila lagi?
Raja Muda Selangor (RMS)
Setelah lama menjadi antara sebutan ramai sebagai bakal Presiden FAS, akhirnya Datuk Subahan Kamal mengesahkan Raja Muda Selangor (RMS), Tengku Amir Shah Sultan Sharafuddin Idris Shah bakal menggantikan beliau pada 3 Julai depan menerusi Mesyuarat Agung Luar Biasa persatuan tersebut.
Mungkin ramai yang tidak menyedari, sebenarnya RMS bukanlah watak asing di dalam arena bola sepak di Selangor. Football Selangor, sebuah organisasi yang menjadi platform bola sepak komuniti dan belia di negeri itu adalah hasil visi baginda.
Organisasi ini percaya bahawa penglibatan masyarakat adalah asas kepada pembangunan bola sepak di Selangor dan di dalam negara.
Setakat ini, 27 liga sosial dan komuniti, 422 pasukan membabitkan 11,298 pemain dari lima daerah utama di Selangor bernaung di bawah Football Selangor cetusan idea RMS.
Membangunkan ‘The Falling Giants’
Apa yang boleh kita jangkakan apabila RMS mengambil alih FAS pada Julai akan datang? Kita pasti RMS sudah mempunyai formula baginda sendiri untuk membangkitkan Red Giants.
Pada Februari tahun lalu, RMS telah menggariskan 7 langkah yang perlu diambil oleh FAS jika inginkan pembaharuan. Sudah tentu kita menjangkakan 7 langkah ini akan turut dilaksanakan oleh baginda, berdasarkan perubahan yang sesuai, mengambil kira situasi dan landskap bola sepak di Selangor.
Kami rangkumkan perkara tersebut kepada lima perkara utama seperti di bawah:
1. Jawatan Presiden FAS
Dalam senarai RMS, salah satu yang disentuh ialah mengenai jawatan Presiden FAS.
Baginda menetapkan seseorang Presiden tidak boleh memegang jawatan tersebut lebih dari 8 tahun (2 penggal), tidak terlibat langsung dengan politik, dan bukan individu yang gemar membuat kacau.
Presiden juga akan mempunyai kuasa eksekutif yang lebih baik dari sebelumnya, untuk menentukan hala tuju bola sepak di Selangor. Untuk semua ini dilaksanakan, kita menjangkakan perlembagaan FAS mungkin akan diubah untuk terma jawatan Presiden.
2. Exco dan Setiausaha Agung
Untuk memantapkan pentadbiran persatuan, Presiden juga akan melantik empat ahli Exco kanan dan Setiausaha Agung pilihan Presiden.
Seperti jawatan Presiden, tempoh jawatan ini dipegang ialah selama dua penggal sahaja.
Ini adalah penting mengambil kira Exco kanan dan Setiausaha Agung akan bekerja rapat dengan Presiden. Sudah tentu kita boleh menjangkakan perubahan kepada portfolio ini menjelang Julai nanti.
3. Rombakan struktur organisasi
Selepas dilantik sebagai Presiden FAS, kami menjangkakan RMS turut mahukan perubahan struktur organiasi yang lebih kemas di dalam FAS.
Walaupun barisa Exco yang dilantik pada EGM akan datang mungkin tidak diubah sehingga 60% seperti yang dikehendaki pada tahun lalu, RMS pasti mahukan mereka yang berada di dalam FAS mampu memberi dedikasi dan komitmen yang tinggi, meletakkan petunjuk prestasi dan bekerja bersungguh-sungguh untuk mencapainya.
4. Pembangunan bola sepak
Apabila dikatakan mengenai perubahan menyeluruh, RMS turut mahu ia melibatkan ahli-ahli kelab gabungan dengan FAS.
RMS mahukan setiap ahli gabungan terlibat dengan program pembangunan bola sepak di negeri tersebut, dan laporan turut harus dihantar kepada FAS untuk dinilai.
Kerjasama dengan badan swasta dan awam demi pembangunan turut akan dipertingkatkan.
Penanda aras turut akan diberikan kepada setiap kelab dan ahli gabungan dalam memastikan setiap daripada mereka serius di dalam aspek pembangunan.
Mana-mana ahli gabungan yang tidak aktif, maka mereka akan dilucutkan hak untuk mengundi di dalam FAS.
5. Kewangan
Menyedari aspek kewangan sebagai antara aspek yang penting dalam kelancaran perjalanan sesebuah organisasi, RMS mahukan seluruh barisan kepimpinan yang dilantik di bawah naungan baginda memikul tanggungjawab dan akauntabiliti agar keadaan kewangan persatuan menjadi kukuh.
Ini bermakna setiap individu di dalam FAS mempunyai tanggungjawab untuk mencari dana secara pro aktif dengan langkah pemasaran yang strategik dengan jenama Merah Kuning itu sendiri.
Ini adalah supaya Selangor FA boleh berdiri sendiri dan tidak mengharapkan dana daripada kerajaan secara berterusan.
Apa jangkaan kita?
Berdasarkan apa yang pernah dinyatakan oleh RMS, kita boleh jangkakan FAS akan mengalami penjenamaan semula.
Adakah RMS akan melihat kepada JDT sebagai model bola sepak di dalam negara? Ini tidak menghairankan kerana JDT adalah pasukan bola sepak dengan struktur paling lengkap di dalam negara.
Namun kita pasti, ia akan dilakukan dengan acuan ‘Merah Kuning’ itu sendiri oleh baginda.
Rumusan
Jiwa bola sepak. Itulah yang boleh kami gambarkan terhadap RMS. Ketibaan baginda di dalam kancah bola sepak tempatan adalah kerana sayangkan bola sepak Selangor.
Misi baginda tidak mudah. Iaitu untuk mengembalikan kegemilangan bola sepak negeri Selangor, kembali gah di pertandingan domestik, dan merupakan cita-cita baginda untuk melihat Selangor mulai mengorak langkah di peringkat Asia.
Tugas seterusnya buat RMS- Membangunkan kembali ‘The Falling Red Giants.’