Hanya menamatkan saingan musim ini di tangga kelima Liga Perdana Inggeris (EPL) yang sekaligus gagal menempatkan diri ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan telah menggusarkan bekas penyerang Chelsea, Eidur Gudjohnsen.
Bekas penyerang The Blues sekitar tahun 2000 hingga 2006 itu risau Chelsea bakal kehilangan khidmat antara pemain paling bernilai buat ketika ini iaitu Eden Hazard.
Nama Eden Hazard juga seringkali dikaitkan dengan gergasi Sepanyol Real Madrid terutamanya pada jendela perpindahan musim sejuk yang lalu.
”Saya harapkan begitu (Eden Hazard kekal di Stramford Bridge). Saya takut, saya takut tetapi mungkin juga tidak tetapi dari apa yang saya fahami kelihatannya dia sangat gembira ketika ini.”
”Dia mahu tahu kemana haluan yang akan dituju Chelsea, arah mana, jurulatih mana yang akan tiba, sama ada Conte kekal atau orang lain.”
”Ia banyak bergantung kepada bagaimana cara Chelsea membentangkan masa depan bagi meyakinkannya bahawa dia perlu kekal di sana dalam tempoh yang lama.”
”Ia merupakan musim (2017/18) yang mengecewakan.”
”Walaupun berjaya memenangi Piala FA, merupakan hari yang hebat buat para peminat, trofi yang penuh dengan sejarah tetapi untuk Chelsea, tidak layak ke Liga Juara-Juara Eropah atau tidak berada di kedudukan empat terbaik merupakan satu perkara yang mengecewakan,’ jelas Gudjohnsen lagi.
Selepas mengecapi pencapaian hebat dalam saingan Liga Perdana Inggeris musim lalu, Chelsea sedikit dirundung malang apabila hanya mampu melayakkan diri ke Liga Europa pada musim hadapan.
Awal bulan lalu, Hazard menegaskan bahawa beliau gembira berada di Stamford Bridge walaupun Chelsea gagal beraksi dalam saingan UCL musim hadapan.
Eidur Gudjohnsen pernah membantu Chelsea meraih dua kejuaraan Liga Perdana Inggeris berturut-turut pada musim 2004/05 dan 2005/06.
Beliau kemudiannya berhijrah ke Barcelona untuk meraih tiga kejuaraan semusim (treble) pada musim 2008/09 apabila menjuarai La Liga, Copa Del Rey dan Liga Juara-Juara Eropah.