Kelab Premier League yang berpengkalan di London, West Ham United telah mencipta kejutan apabila melantik Manuel Pellegrini sebagai pengurus baharu mereka.
Pellegrini yang merupakan pemenang Premier League bersama Manchester City sebelum ini dinamakan sebagai pengurus baharu West Ham United selepas kelab tersebut membuat keputusan untuk tidak memperbaharui kontrak David Moyes.
David Moyes menjadi pengurus kelab tersebut dengan kontrak jangka pendek sahaja.
Pellegrini meninggalkan kelab beliau sebelum ini iaitu Hebei China Fortune untuk menjadi pengurus termahal dalam sejarah West Ham United dengan gaji sebanyak £7 juta setahun.
Gaji yang diterima beliau di London Stadium itu amat berbeza dengan gaji yang beliau terima di China iaitu sebanyak £16 juta setahun.
Pellegrini dikatakan cukup tertarik dengan projek yang dirancang oleh kelab tersebut untuk mengubah nasib kelab.
“Saya tertarik dengan perancangan kelab. Saya berharap saya dapat ulangi kejayaan saya bersama dengan setiap kelab Eropah yang pernah saya bimbing iaitu mara ke kejohanan Eropah.”
Di pihak West Ham United, pelantikan Pellegrini terhasil selepas mereka mendengar permintaan peminat kelab untuk bercita-cita lebih tinggi.
“Kami mendengar permintaan peminat yang mahukan kami lebih bercita-cita tinggi.”
“Oleh itu kami melantik Pellegrini yang terkenal dengan taktikal bola sepak menyerang dan mampu mendapatkan prestasi terbaik dari pemainnya.”
“Selain itu juga, beliau merupakan seorang pengurus yang berpengalaman di Premier League.”
Pellegrini dikatakan bersedia untuk membawa beberapa nama baharu untuk West Ham United.
Dua nama yang disebut-sebut adalah bintang Manchester City iaitu Yaya Toure yang akan meninggalkan kelab tersebut dan juga pemain remaja mereka Phil Foden.