Penjaga gol Juventus, Gianluigi Buffon semakin hampir akan menyertai Paris Saint-Germain (PSG). Demikianlah menurut laporan yang disiarkan oleh Sky Sports Italia.
Penjaga gol berusia 40 tahun berstatus legenda itu menamatkan karier selama 17 tahun bersama Juventus dalam perlawanan pada hujung minggu lalu.
Bagaimanapun pada peringkat ini, Buffon dikatakan masih di peringkat perbincangan bersama juara Ligue 1 Perancis tersebut.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi baru-baru ini turut memuji penjaga gol Itali itu dalam satu temuramah yang disiarkan di akhbar Perancis, L’Equipe.
Namun demikian, Al-Khelaifi menegaskan bahawa Alphonse Areloa akan tetap menjadi penjaga gol pilihan pertama di bawah pengurus baharu, Thomas Tuchel.
Dalam temuramah bersama L’Equipe itu, Al-Khelaifi dipetik sebagai berkata:
“Pasukan ini sudah memiliki Areola. Dan beliau akan adalah penjaga gol nombor satu pasukan ini. Sudah pasti ianya akan kekal sedemikian pada musim hadapan.”
“Tetapi Buffon adalah seorang penjaga gol yang hebat. Beliau memiliki karisma dan seorang lelaki yang budiman. Saya pasti setiap kelab mahukan khidmat beliau.”
Buffon tampil buat kali terakhir pada Sabtu lalu dalam kemenangan 2-1 ke atas Hellas Verona di Stadium Juventus.
Penjaga gol tersebut kemudiannya dikeluarkan oleh pengurus, Massimiliano Allegri pada minit ke-63 perlawanan untuk membenarkan penghormatan ‘guard of honor’ diberikan kepada beliau.
Tepukan gemuruh dan tangisan air mata dari kalangan penyokong Juventus yang hadir turut mengiringi perjalanan Buffon yang menamatkan aksi ke 656 bersama kelab Turin itu.
Selain daripada Juventus, Buffon turut beraksi bersama dengan Parma di antara tahun 1995 sehingga 2001. Perpindahan tersebut pernah menjadi perpindahan termahal dunia untuk penjaga gol dengan nilai £33 juta.
Penjaga gol tersebut turut membayangkan belum bersedia untuk menggantung sarung tangan sebelum ini, apabila mendedahkan telah menerima satu tawaran yang hebat beberapa hari menjelang perlawanan menentang Verona.