Arsenal yang semakin hampir untuk memuktamadkan keputusan mengenai siapakah pengurus baharu kelab dari London itu telah melancarkan jersi rasmi pasukan bagi menghadapi musim 2018/19.
Untuk musim hadapan, Arsenal masih lagi akan memakai jersi yang ditaja jenama popular dari Jerman, Puma.
Menerusi video eksklusif yang dikeluarkan laman web rasmi Arsenal, kelihatan kelibat Pierre Emerick Aubameyang, Mesut Ozil dan Hector Bellerin antara pemain yang tampil bagi menggayakan rekaan terbaru itu.
Arsenal masih mengekalkan warna adunan merah dan putih sebagai warna tradisi buat pasukan.
Bahagian dada pada jersi ini juga dilengkapi dengan reka bentuk ‘nadi’ yang unik.
Dalam pada itu, jersi ini dicipta menggunakan teknologi evoKNIT yang memberikan rasa lebih ringan selaras dengan pergerakan para pemain.
Puma telah menjadi penaja jersi rasmi buat Arsenal bagi tahun kelima berturut-turut sejak musim 2014/15 bagi menggantikan Nike.
Antara penaja lain yang pernah menaja The Gunners selain Puma dan Nike ialah Umbro dan Adidas.
Kontrak Puma bersama Arsenal bakal berakhir pada penghujung musim hadapan.