Pemain tengah menyerang dari Argentina, Gabriel Guerra menjadi sasaran PKNS FC untuk dibawa masuk dalam jendela perpindahan kedua Liga Malaysia sebelum ditutup sepenuhnya pada 3 Jun depan.
PKNS FC bukanlah kelab asing bagi Guerra kerana ia merupakan kelab pertama yang disertai oleh beliau ketika berkelana ke Malaysia.
Guerra juga sempat membantu kelab Johor Darul Ta’zim (JDT) menjuarai Liga Super dan telah dilepaskan oleh skuad Harimau Selatan itu kerana gagal meninggalkan impak sebagaimana yang telah dilakukan oleh Jorge Pereyra Diaz dan Juan Martín Lucero pada musim sebelumnya.
Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berkata kepada Stadium Astro, mengesahkan PKNS FC telah menghubungi pemain itu yang kini bersama Kelab Boca Juniors di Argentina.
“Untuk jendela perpindahan kedua ini, kami melihat beberapa pilihan untuk memantapkan pasukan dan salah satunya adalah memperkuatkan pasukan dengan melihat kepada pemain yang mampu memberi kesan kepada PKNS.
“Salah satunya adalah Guerra,” kata Mahfizul.
Guerra cemerlang bersama PKNS pada musim 2016 dengan membantu kelab itu muncul naib juara Liga Perdana dan Piala FA.
Antara sebab utama yang membuatkan PKNS sanggup melakukan perjudian mengambil khidmatnya adalah kerana Guerra sudah biasa dengan kancah bola sepak Malaysia.
“Pilihan yang ada sekarang adalah disebabkan Guerra sudah memahami budaya bola sepak di Malaysia, membuatkan kemungkinan berisiko itu agak kecil,” tambahnya.
Jika Guerra sah kembali ke PKNS, kelab itu akan menggugurkan salah seorang awang import sama ada di posisi serangan atau pertahanan.
PKNS FC kini berada di kedudukan ke 4 Liga Super dengan berbekalkan 17 mata selepas 10 perlawanan. Mereka juga layak ke separuh akhir Piala FA dan menyasarkan untuk mengulangi pencapaian 2016 beraksi di pentas Final.