Berapa banyakkah bahan bacaan yang pernah dibaca oleh anda mengenai kehebatan Pep Guardiola?
Tidak syak lagi bahawa kebijaksanaan taktikal pengendali dari Sepanyol itu telah mengangkat namanya sebagai antara pengurus terbaik dunia.
Namun ada satu aspek dan nama yang sering diabaikan di dalam mengukur kejayaan pengurus dari Sepanyol itu. Siapakah pemangkin di sebalik kejayaan Guardiola?
Staff kejurulatihan Guardiola
Jika diperhatikan senarai 16 individu yang dijadikan sandaran Guardiola sebagai staff kejurulatihan sejak dua musim yang lalu, tidak ada jawatan Pembantu Pengurus diwujudkan.
16 individu tersebut ialah Domenec Torren, Mikel Arteta, Lorenzo Buenaventura, Max Sala, Steven Lilley, Rodolfo Borrell, Brian Kidd, Mark Sertori, Michael Clitheroe, Barry Hamilton, Sam Erith, Tom Shineton, Federico Genovesi, Alistair Marland, Xabier Mancisidor, Ben Thompson.
Mereka terdiri daripada pembantu jurulatih, jurulatih kecergasan, doktor pasukan, fisio, pakar terapi tisu, pakar sains sukan, pengurus kit, dan penganalisa prestasi pemain.
Siapakah bekas bintang polo air yang dimaksudkan di dalam tajuk artikel? Beliau yang dimaksudkan ialah orang paling kanan dan individu kepercayaan Guardiola, Manel Estiarte (gambar bawah).
‘El Maradona del agua’
‘El Maradona del agua’, demikianlah nama jolokan yang diberikan terhadap Manel Estiarte atas karier selama 25 tahun sebagai pemain polo air.
Kisah Estiarte di dalam sukan polo air agak menarik. Sebagai salah seorang daripada sembilan pemain dari wilayah Catalan yang menanggotai tiga belas pemain untuk skuad Sepanyol pengalaman Estiarte di Sukan Olimpik 1992, Barcelona boleh dianggap seperti mimpi ngeri setelah tewas di minit akhir masa tambahan di perlawanan akhir.
Namun demikian kapten Sepanyol selama 20 tahun tersebut bangkit untuk memenangi kilauan emas di Sukan Olimpik, Atlanta. Ia kekal emas olimpik tunggal Sepanyol di dalam sukan polo sehingga kini.
Di situlah kemuncak karier Estiarte sebagai pemain sukan polo air. Karier gemilangnya di dalam sukan tersebut diakhiri dengan rekod membanggakan.
Enam penyertaan di Sukan Olimpik, dua pingat emas di Kejohanan Dunia pada 1996 dan 1998, dan dinobatkan sebagai pemain terbaik dunia sukan polo air sebanyak tujuh kali; siapa yang boleh menjangkakan bahawa ada sesuatu yang lebih besar untuk Estiarte selepas itu.
Kegagalan di halaman sendiri di Sukan Olimpik 1992 bukan perkara yang paling perit di dalam hidup Estiarte. Tujuh tahun sebelum itu, kematian adik perempuan setelah bertindak terjun dari bangunan empat tingkat di Manresa telah lama menghantui beliau.
Pada 2009, selepas sembilan tahun beliau bersara sebagai pemain polo air, baharulah Estiarte mampu meluahkan keperitan yang dirasainya selama ini di dalam sebuah autobiografi bertajuk “Todos mis hermanos” yang membawa makna “Adik Beradik Saya.”
Guardiola dan Estiarte
Guardiola dan Estiarte menjadi sahabat baik sejak 1991. Mereka turut kelihatan berjalan beriringan di sekitar trek stadium sebelum perasmian rasmi Sukan Olimpik pada 1992.
Hubungan persahabatan kedua-duanya menjadi semakin akrab ketika Guardiola dan Estiarte masing-masing mengembangkan karier sebagai pemain di Itali.
Dan ketika Guardiola disahkan sebagai pengendali skuad utama Barcelona pada 2008, beliau tidak teragak-agak untuk menawarkan tempat kepada Estiarte di Nou Camp.
Empat musim bersama Guardiola di Nou Camp, ia adalah tempoh yang mencukupi untuk Estiarte memahami selok belok dan rahsia di bilik persalinan pemain.
Kesetiaan turut menjadi teras kepada hubungan di antara dua individu ini. Maka tidak hairanlah mengapa Guardiola memberikan peranan yang amat besar kepada Estiarte ketika di Barcelona, diikuti Bayern Munich, dan kini di Manchester City.
Peranan Estiarte
Di Manchester City, selain daripada terus berperanan sebagai penasihat utama kepada Guardiola, Estiarte diberikan peranan yang lebih besar berbanding ketika di Bayern dan Barcelona.
Estiarte telah dilantik sebagai Pengarah Pengurusan Skuad Utama, Operasi & Sokongan.
Estiarte mempunyai pengetahuan yang luas di dalam menangani cabaran di peringkat tertinggi di dalam bidang sukan.
Salah satunya ialah dengan membina keyakinan dan memberi inspirasi kepada pemain, dengan kaedah penuh inovatif untuk kekal kompetitif dengan mentaliti juara.
Bagi Guardiola, selain daripada taktikal dan permainan di atas padang, aspek lain yang perlu ditekankan ialah kerjasama sepasukan, moral, dan keharmonian di kalangan anggota pasukannya.
Ia adalah antara komponen penting yang Guardiola mahu terapkan di kalangan pemainnya dan perkara ini adalah dibawah seliaan orang kepercayaannya.
Sebagai Pengarah Pengurusan, Estiarte turut dipertanggungjawabkan untuk memastikan rutin harian pemain berjalan dengan lancar.
Di luar padang latihan dan perlawanan, Estiarte adalah individu yang akan menentukan pemain manakah yang akan mengambil bahagian di dalam sesi penggambaran, temuramah, aktiviti komersil dan sebagainya.
Pemain hargai Estiarte
Di perlawanan terakhir Manchester City pada musim ini, skuad Guardiola sedang mendahului Crystal Palace 4-0. Seperti kebiasaan, Estiarte akan menuju terowong pemain lebih awal, sebelum perlawanan ditamatkan.
Tujuan beliau mudah. Estiarte mahu menjadi individu pertama untuk menyapa pemain-pemain Manchester City; baik ketika menang ataupun kalah.
Dan ketika pemain-pemain Manchester City sedang meraikan gol kelima, Fernandinho menyedari kelibat Estiarte dan meninggalkan rakan sepasukan yang lain untuk turut mengucapkan terima kasih kepada Estiarte.
“Para pemain sukakan Estiarte. Mereka menghormati beliau kerana mengetahui diri mereka boleh datang kepada beliau untuk apa sahaja ,” ujar satu sumber seperti yang dipetik daripada ESPN.
Antara elemen terpenting di dalam bola sepak yang sering diabaikan, ianya ialah mengenai kemanusiaan. Kita sering menuntut prestasi terbaik daripada pemain.
Sehingga adakalanya kita lupa, pemain juga adalah manusia. Mereka bukan barang dagangan yang boleh dijaja. Juga bukan seperti watak di dalam permainan konsol seperti FIFA. Realiti sebenarnya ialah pemain mempunyai perasaan.
Dan perasaan akan turut mempengaruhi prestasi, tahap keyakinan dan pelbagai isu lain yang berkaitan dengan tahap persembahan pemain di atas padang.
Satu perkara yang Estiarte pastikan di Etihad ialah untuk memastikan setiap pemain tidak menghiraukan perkara lain selain daripada bermain bola sepak.
Penutup
Mungkin ada yang bertanya. Mengapakah sesebuah kelab memerlukan sehingga 17 individu (termasuk Estiarte) sebagai staff bukan pemain mereka?
Jawapannya mudah. Apa yang menjadikan Guardiola sebagai pengurus yang hebat ialah setiap perkara yang dilihat oleh beliau secara terperinci. Untuk melakukan demikian, ianya bukan perkara yang mudah dan mustahil untuk dilakukan sendirian.
Untuk itu, Guardiola mengenalpasti individu yang boleh membantu, dan Estiarte nyata individu yang unik di dalam pasukan Guardiola.
100 mata? Selayaknya.