Ramai yang mempertikaikan kemenangan Neymar sebagai pemain terbaik Ligue 1. Mana tidaknya, pemain itu beraksi hanya 20 perlawanan daripada 38 perlawanan.
Neymar mengakui gembira dengan Anugerah Tahunan itu dan berterima kasih kepada rakan sepasukan serta jurulatih beliau. Menurut Neymar, beliau tak akan menang anugerah tersebut tanpa bantuan mereka semua.
Ada yang menganggap anugerah ini untuk membeli ‘jiwa’ Neymar untuk kekal di Ligue 1. Pemain termahal dalam sejarah bola sepak ini dikaitkan dengan perpindahan ke kelab seperti Real Madrid dan Man United.
Dari sudut publisiti memang Ligue 1 enggan kehilangan beliau. Ini kerana, beliau antara salah satu daya penarik Ligue 1.
Jadi, kami membentangkan 4 aspek yang akan dinilai, sama ada beliau berhak ataupun tidak. Dan adakah pengundi-pengundi yang berkelayakan untuk anugerah ini telah membuat keputusan yang silap dan populis semata-mata?
Ini adalah beberapa statistik daripada Neymar musim ini di Ligue 1.
1. Paling kreatif
Meskipun hanya beraksi 20 perlawanan, Neymar telah menjadi pemain yang melakukan ‘assist’ paling banyak di Ligue 1 dengan 13 kali mencipta ‘assist’.
Beliau yang seringkali dilabel tamak sebenarnya sudah melakukan tugas dengan sangat baik. Ini bermakna, ratio assist beliau adalah 0.65 per perlawanan. Jika purata ini kekal dalam setiap perlawanan dan Neymar beraksi 38 perlawanan beliau akan berada pada paras 24.7 bantuan gol semusim.
2. Ketajaman
Untuk ranking gol. Neymar telah menjaringkan 19 gol musim ini. Berada di tangga ke-3 di belakang Cavani (28) dan Thauvin (22).
Sebagai perbandingan 4 pemain yang menjaringkan 18 gol ialah, Mariano, Balotelli, Nabil Fekir dan Falcao, kesemua mereka bermain lebih 25 perlawanan dan ke atas.
Neymar adalah pemain yang paling banyak melakukan percubaan gol dalam setiap perlawanan dengan 4.5 percubaan gol per perlawanan. Dari segi ketepatan, Neymar adalah yang paling tinggi dengan 2.1 percubaan tepat per perlawanan.
3. Keupayaan teknikal
Pemain ini antara pemain dalam kategori penghibur. Memiliki kaki yang sangat berseni dan juga kepantasan. Namun seni sahaja tidak cukup untuk melayakkan mereka mendapat label terbaik jika kurang sumbangan kepada statistik permainan berpasukan.
Neymar adalah pemain yang paling lincah di Ligue 1. Beliau melakukan 10.1 gelecekan (dribble) per perlawanan. Jauh meninggalkan 2 pemain di tempat ke-2 dan ke-3.
Thauvin dengan 5.1 gelecekan per perlawanan, manakala Nabil Fekir dengan 4.4 gelecekan per perlawanan. Ratio kejayaan gelecekan Neymar sangat tinggi. Beliau ibarat menggelecek budak sekolah di Ligue 1 dengan 7.1 gelecekan berjaya per perlawanan.
4. Visi
Neymar adalah pemain keduan tertinggi melakukan hantaran kunci dalam satu perlawanan dengan ratio 3.5 hantaran kunci per perlawanan. Hanya Dmitri Payet (3.9 per perlawanan) melakukan lebih daripada beliau.
Dosevi yang berada di tempat ke-3 jauh di belakang dengan 2.9 hantaran kunci per perlawanan.
Neymar juga menjadi pemain yang paling banyak melorongkan hantaran lolos (through ball) untuk setiap perlawanan dengan 1.1 per perlawanan. Payet dengan 0.6 per perlawanan dan Verratti dengan 0.5 per perlawanan.
Rumusan
Secara asasnya, 4 penilaian di atas menunjukkan Neymar layak untuk menang anugerah tersebut tanpa ada pertikaian terlalu besar. Kami tahu masing-masing ada pandangan tersendiri.
Namun Neymar adalah pemain yang berada dalam senarai yang berhak untuk menang walaupun, andai kata beliau tak menang.
Neymar telah melakukan tugas beliau sebagai penyerang sayap dengan baik. Bukan sahaja menjaringkan gol, malah mencipta gol dan mengolah gerakan dengan visi yang ada pada beliau.