Piala Dunia 2018 menjelang tidak lama lagi. Sudah pasti lambakan informasi akan kita temui tatkala kejohanan ini bakal berlangsung.
Namun, tahukah anda bahawa FIFA ada mewujudkan kod nama-nama negara yang bertanding? Dan setiap ahli FIFA mempunyai ringkasan nama tersendri.
Dalam bahasa Inggeris ia dikenali sebagai ‘country codes.’
Dicipta
Sesuatu yang dicipta di muka bumi ini pasti ada fungsi tersendiri. Termasuklah juga dengan kod negara. Nama-nama negara di dunia sudah pasti ada yang sangat panjang dan ada yang terlalu pendek.
Malah, sekiranya menggunakan nama yang bukan diterima masyarakat antarabangsa, tidak kurang ia menjadi kontroversi. Di samping ia akan mengundang bahan ketawa.
Contohnya, ada negara jiran yang memanggil Jepun sebagai Jepang. Sedangkan kita mengenali negara tersebut ialah Jepun. Walhal dalam bahasa Inggeris dikenali sebagai Japan.
Variasi
Atas sebab inilah FIFA memperkenalkan kod ringkasan nama negara bagi mengelakkan kekeliruan. Disamping ia membantu syarikat televisyen untuk menayangkan ‘score display’ di kaca TV.
Sebagai contoh, Malaysia menggunakan kod MAS. Sebelum pembentukan Malaysia pada September 1963, kita juga menggunakan kod MAL.
Namun, perubahan tetap berlaku bagi sesetengah negara. Sebagai contoh, Sri Lanka menggunakan kod CEY. Pada waktu itu negara itu dikenali sebagai Ceylon. Kemudiannya barulah FIFA menukarkan kepada SRI sebagai penyelarasn nama negara tersebut yang baharu.
Penambahan juga berlaku seiring dengan pertambahan ahli FIFA. Misalnya, Kosovo yang baru menyertai pertubuhan itu diberikan kod KVX. Gibraltar pula mendapat kod GIB.
Sebenarnya, FIFA juga mewujudkan kod seperti ini bagi bukan negara yang menjadi ahlinya. Tuvalu di Oceania mendapat kod TUV. Ia sengaja diwujudkan bagi memudahkan urusan statistik.
Beza
Sebenarnya ada sedikit perbezaan kod antara FIFA dengan IOC. IOC ialah Jawatankuasa Olimpik Antarabangsa. Kod IOC akan digunakan semasa temasya sukan seperti Sukan Olimpik.
Indonesia antara negara yang menggunakan kod berbeza. FIFA menetapkan IDN untuk Indonesia. IOC pula menggunakan kod INA untuk negara tersebut.
Kod-kod ini jarang mengalami perubahan. Ia berbeza dengan kod-kod bagi pasukan kelab domestik. BBC pernah menggunakan kod berbeza bagi Chelsea. Ada masanya mereka memakai kod CHE, ada juga gunakan kod CHEL.
Tidak konsisten, bukan?
Semoga perkara ini dapat menyelesaikan permasalahan kenapa kod negara ini diwujudkan. Sekurang-kurangnya ia membantu kita mengenali negara lain di dunia ini.