Rekod tanpa kalah juara La Liga musim 2017/18, Barcelona akhirnya lebur apabila tewas 5-4 ketika bertemu Levante di Estadio Ciudad De Valencia awal pagi tadi.
Pesta gol pada aksi ke-37 La Liga itu dimulakan dengan jaringan pembukaan oleh tuan rumah seawal minit ke-9 perlawanan menerusi Emannuel Boateng.
Gol tersebut berpunca selepas Boateng berjaya menolak masuk bola menewaskan Marc-Andre Ter Stegen setelah mendapat hantaran dari sebelah kanan pintu gol Levante yang dilakukan Jose Luiz Morales.
Penyerang kelahiran Ghana itu terus mengejutkan skuad bimbingan Ernesto Valverde dengan mencatatkan jaringan kedua peribadi beliau pada minit ke-30.
Tersentak dengan dua jaringan tersebut, Phillipe Coutinho merapatkan jurang menerusi jaringan berselang lapan minit kemudian.
Ledakan dari luar kotak penalti oleh Coutinho telah berjaya memperdayakan Oier Olazabal di gawang Levante.
Memasuki babak kedua seakan-akan serba tidak menjadi buat Barcelona apabila mereka dibolosi tiga jaringan dalam tempoh 10 minit.
Enis Bardhi meledakkan jaringan menarik dari luar kotak penalti selepas permainan baru sahaja bersambung seminit selepas rehat babak pertama untuk menjadikan kedudukan 3-1.
Tiga minit kemudian, Boateng melengkapkan hatrik pada perlawanan bermakna ini dengan percubaan leret yang mudah memperdayakan Ter Stegen untuk jaringan keempat buat Levante.
Tidak cukup dengan itu, Levante terus menggandakan penguasaan dengan jaringan kelima menerusi Enis Bardhi pada minit ke-56.
Bagaikan mendapat tonik yang sangat berguna dek kerana tiga jaringan tersebut, Barcelona cuba bangkit untuk menghasilkan tiga jaringan dan dua daripanya dihasilkan oleh Phillipe Coutinho yang sekaligus meledak hatrik.
Jaringan penalti oleh Luis Suarez pada minit ke-71 menjadikan kedudukan 5-4 namun ia masih belum cukup untuk mengelakkan dari skuad juara La Liga itu dari menerima kekalahan sulung dalam saingan liga musim ini.