Desas-desus mengatakan bahawa bintang Paris Saint-Germain (PSG), Neymar bakal meninggalkan kelab itu pada penghujung musim ini jelas kedengaran dan Real Madrid menjadi kelab yang dikaitkan dengan pemain termahal dunia ini.
Namun kelab juara Perancis itu menafikan sekeras-kerasnya peluang untuk pemain antarabangsa Brazil itu untuk meninggalkan Parc Des Princes pada musim hadapan.
Presiden PSG, Nasser Al-Khelaifi menegaskan bahawa Neymar pasti ‘2000%’ tidak akan meninggalkan PSG pada jendela perpindahan musim panas nanti.
Neymar kini masih mempunyai kontrak selama empat tahun lagi dan juga dalam proses pemulihan kecederaan.
Mengulas mengenai masa depan Neymar, Nasser berkata:
”Siapa yang mengatakan bahawa dia (Neymar) tidak akan kekal di sini (PSG). Ada sesiapa yang mengatakan sedemikian? Tiada siapa,” jelas Nasser kepada wartawan.
”Dia mempunyai kontrak bersama kami dan dia akan kekal disini, 2000%.”
”Media di Sepanyol masih bekerja untuk kelab Sepanyol bagi menentang kelab Perancis. Dan saya tidak tahu media Perancis bekerja untuk siapa.”
Sejak kebelakangan ini semakin banyak berita kedengaran mengenai Neymar untuk beraksi di Santiago Bernabeu.
Pemain muda yang bakal ke Real Madrid, Vinicius Junior turut mengimpikan untuk bergandingan bersama bintang pujaannya itu.
Legenda Brazil, Rivaldo juga berpendapat bahawa Real Madrid merupakan destinasi paling tepat buat pemain berusia 26 tahun itu untuk menggapai pencapaian individu.