Bekas penyerang import Pahang, Matias Conti kemungkinan akan kembali semula ke saingan Liga Malaysia apabila media tempatan, Kosmo melaporkan beliau berada dalam radar pasukan gergasi merah, Selangor.
Menurut sumber, skuad itu menerima tawaran daripada ejen Matias Conti yang kini dipinjamkan untuk beraksi di divisyen pertama liga bola sepak Chile.
Selangor kini sedang mengintai pemain import baharu bagi memantapkan skuad itu untuk menghadapi saingan sengit dalam Liga Super dan Piala FA.
Difahamkan pemain dari Portugal turut menjadi sasaran skuad itu untuk dibawa masuk pada jendela perpindahan kedua Liga Malaysia yang kini sedang dibuka. Namun, Selangor enggan mendedahkan identiti pemain tersebut.
Pengendali skuad itu, Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir, beliau akui pemain import baharu itu perlu dinilaikan terlebih dahulu sebelum diserapkan dalam pasukannya.
“Pasukan enggan terburu-buru untuk mendapatkan pemain import dari Portugal yang pernah beraksi dengan liga Arab, manakala pemain Argentina itu pula pernah bersama liga China walaupun mereka mempunyai pengalaman yang sangat luas.
“Kita perlu mengikut kesesuaian pasukan terlebih dahulu kerana suasana Liga Malaysia (Liga M) tidak sama seperti yang mereka lalui sebelum ini.
“Pada masa sama, kami mahukan pemain baharu yang dapat membantu pasukan, terutamanya ketika berdepan perlawanan separuh akhir Piala FA menentang kelab Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) bulan depan,” katanya.
Selangor kini mempunyai lima pemain import iaitu Evan Dimas dan Ilham Udin dari Indonesia selain Rufino Segovia dan Alfonso de Cruz dari Sepanyol serta Willian Pacheco (Brazil).
“Melalui sesi latihan dan perlawanan persahabatan kita dapat melihat prestasi pemain ini adakah ia mengikut kesesuaian pasukan atau sebaliknya.
“Saya perlu menilai dengan lebih terperinci supaya kehadiran mereka dapat menampung kekurangan yang ada pada pasukan.
“Kita mahu dana yang dilaburkan membuahkan hasil serta pemain dapat membawa nama Selangor sebagai salah satu pasukan pencabar utama dalam saingan Liga M,” ujarnya.