Pengurus Chelsea, Antonio Conte mahu terus fokus dengan tugasannya yang berbaki tiga perlawanan sahaja lagi menjelang penutup cabaran musim ini dan tidak bimbang dengan spekulasi mengenai masa depannya di Stamford Bridge pada musim 2018/19.
Menurut pengendali berasal dari Itali itu, beliau hanya akan memikirkan tentang masa depannya selepas tamat saingan musim ini.
Pelbagai spekulasi kedengaran mengenai masa depan Conte selepas beliau dikatakan bakal meninggalkan Chelsea berikutan hubungan dinginnya dengan pengurusan tertinggi kelab.
Namun, semua itu tidak dihiraukan Conte yang jelas mahu fokus dalam usaha untuk memburu satu slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah musim hadapan.
The Blues turut akan menanti cabaran Manchester United di perlawanan akhir Piala FA, pentas akhir kedua dalam saingan yang sama buat Antonio Conte selepas kecundang ditangan Arsenal pada musim lalu.
Manakala dalam saingan Liga Perdana Inggeris pula, Huddersfield Town dan Newcastle United bakal menjadi cabaran terakhir kelab dari London itu.
”Saya fikir dan pasti bahawa saya adalah jurulatih Chelsea dan itu hanya fokus saya,” Conte memberitahu wartawan di Pusat Latihan Cobham.
”Ia sangat sukar untuk memberikan komen terhadap mana-mana spekulasi kerana spekulasi telah kedengaran tentang saya sejak bermula musim ini, selepas perlawanan pertama menentang Burnley.”
”Saya fikir anda memahami yang spekulasi ini tidak penting buat saya kerana fokus saya hanya untuk bekerja dengan cara yang terbaik pasukan pemain saya.”
”Saya melakukannya dari mula, hingga ke akhirnya. Hanya tinggal dua minggu sahaja dan musim ini akan berakhir.”
”Anda kemudian akan tahu jika terdapat situasi yang berbeza, atau jika anda melihat saya lagi pada musim hadapan dan kami bermula semula dari perlawanan pertama untuk mengetahui mengenai spekulasi tentang masa depan saya.”
”Saya sangat fokus untuk cuba menamatkan saingan musim ini di tempat terbaik yang mungkin dan cuba untuk memindahkan kehendak saya kepada para pemain kerana penyokong berhak mendapatkannya.”
Realitinya ketika ini adalah saya mempunyai kontrak, saya komited dengan Chelsea dan masa depan saya. Situasi yang menunjukkan komited bersama Chelsea untuk setahun lagi.”
”Fokus saya hanya untuk Chelsea. Masa depan? Anda tidak akan tahu apa yang akan terjadi kerana tugas ini sangat sukar. Anda perlu bersedia untuk segalanya,” ujar Antonio Conte lagi.