Skuad muda Kelantan mempamerkan aksi bertenaga untuk menumpaskan Kuala Lumpur 4-2 dalam saingan unifi Liga Super Malaysia 2018 yang berlangsung di Stadium Sultan Muhammed IV sebentar tadi.
Separuh masa pertama
Kelantan yang dibarisi sebahagian besar pemain muda memperlihatkan aksi lebih meyakinkan pada babak pertama dengan hantaran kemas dan kawalan bola yang baik.
Nik Azli Nik Alias tidak menunggu lama untuk menggembirakan penyokong setia The Red Warriors.
Pemain berusia 21 tahun itu meledakkan satu rembatan kencang pada minit ke-9 dari sebelah kiri pintu gol Kuala Lumpur untuk menewaskan Ahmad Solehin Mamat bagi membuka tirai jaringan.
Kuala Lumpur yang masih segar dengan kemenangan keatas PKNS FC minggu lalu terus dirundung kecewa dek kerana kecuaian penjaga gol yang mengundang padah.
Masalah yang beberapa kali telah dihadapi skuad warga kota musim ini.
Solehin Mamat yang mahu mengeluarkan bola selepas menerima hantaran ke belakang dari pemain pertahanan hanya menendang angin untuk memberikan peluang buat Shafiq Shaharudin menolak dengan mudah bola untuk jaringan kedua buat Kelantan.
Selepas ketinggalan dengan dua gol, Kuala Lumpur kembali mengimbangi permainan dengan melancarkan gerakan berbahaya ke kubu Kelantan.
Namun, usaha mereka untuk merapatkan jurang gol dinafikan ketumpulan penyudah terutamanya beberapa peluang terbaik menerusi pemain import dari Brazil, Paulo Josue Sturmer.
Separuh masa kedua
Permainan bersambung dengan aksi lebih menarik ditampilkan beberapa siri serangan diilhamkan kedua-dua pasukan.
Kuala Lumpur pantas menguji kubu Kelantan bagi memburu jaringan menerusi percubaan daripada Bobirjon Akbarov pada minit ke-50.
Bagaimanapun rembatan dari pertahanan dari Uzbekistan itu hanya melewati palang gol Kelantan yang dikawal Mohammad Fikri Che Soh.
Penjaga gol berusia 20 tahun itu terus menghampakan Kuala Lumpur selepas beliau menangkap kemas percubaan berbahaya yang dilakukan Mohamad Zaquan Adha Abd. Radzak.
Kelantan menjerat pertahanan Kuala Lumpur pada minit ke-68 dengan hantaran jauh untuk sekaligus memberikan peluang buat Shafiq Shaharudin untuk meluru pantas ke hadapan.
Shafiq yang kemudiannya berjaya melepasi kawalan Mohd Hisyamudin Shaari, melepaskan satu rembatan yang terus menggegar jaring pasukan pelawat untuk jaringan ketiga.
Kuala Lumpur merapatkan jurang gol selepas hantaran lintang ke bahagian ‘far post’ yang dilakukan Mohd Firdaus Mohd Faudzi berjaya ditanduk masuk oleh Indra Putra Mahayuddin pada minit ke-80.
Nik Akif Syahiran Nik Mat kembali menceriakan penyokong tuan rumah dengan ledakan kaki kiri dari luar kotak penalti yang gagal dihalang Solehin untuk jaringan keempat buat Kelantan.
Zhafri Yahya menambah jaringan kedua buat Kuala Lumpur pada masa kecederaan, namun keputusan 4-2 tersebut kekal hingga tamat permainan.
Kejayaan malam ini merupakan kemenangan kedua buat skuad bimbingan Fajr Ibrahim dalam saingan Liga Super musim ini.