S. Veenod sebelum ini menjadi nama yang digugurkan oleh KAFA selepas rombakan oleh Fajr Ibrahim. Beliau menyatakan KAFA masih belum membayar gaji beliau sejak Februari.
Angka keseluruhan gaji tersebut adalah RM100,00. Ini bermakna KAFA pada awal musim tawarkan S. Veenod dengan gaji sekitar RM40,000 sebulan untuk pemain yang bergelut dengan prestasi sepanjang 2017.
Musim terbaik S.Veenod adalah musim 2016 bersama Selangor. Musim lalu beliau gagal mendapatkan aksi sebaik itu lagi.
Dipetik dari sumber Harian Metro, Veenod memberitahu akhbar tersebut yang KAFA ibarat lepas tangan ke atas situasi beliau.
“KAFA masih ada hutang 2 setengah bulan gaji dengan saya. Setakat ini mereka hanya bayar separuh daripada gaji Februari sata. Jadi, ada baki tunggakan setengah bulan lagi untuk Februari serta gaji bulan Mac dan April.”
“Jumlah keseluruhannya sekitar RM100,000.”
S. Veenod memberitahu yang beliau sudah cuba sedaya upaya menuntuk hak beliau.
“Saya sudah berusaha dengan pelbagai cara untuk mendapatkan hak saya itu sama ada bersemuka dengan presiden (Bibi Ramjani Ilias Khan) mahupun bertanya melalui mesej WhatsApp tapi gagal.”
“Sebaliknya presiden meminta saya menamatkan kontrak saya sendiri dan beliau berjanji akan melangsaikan semua gaji tertunggak itu.”
“Masalahnya, bukan saya yang mahu meninggalkan pasukan itu sebaliknya mereka yang menggugurkan saya tanpa alasan yang kukuh. Jika mereka mahu tamatkan kontrak saya dan bayar pampasan, saya boleh terima.”
“Saya ada mulut untuk makan, saya ada keluarga untuk ditanggung. Pinjaman bank saya kena bayar tapi kalau begini keadaannya, adakah mereka nak suruh saya makan pasir atau nak suruh saya pinjam Along untuk bayar hutang bank?”
Veenod masih memberikan peluang kepada KAFA untuk selesaikan masalah itu sebelum mengambil langkah lebih drastik. Beliau juga masih belum memanjangkan hal tersebut kepada PFAM.
Veenod sedia menamatkan kontrak beliau dengan Kelantan jika ada pasukan yang mahukan khidmat beliau pada jendela perpindahan yang akan dibuka ini. Tetapi beliau menegaskan yang beliau tetap mahukan gaji beliau dilunaskan.
Kontrak semasa S.Venood dengan Kelantan masih ada sehingga akhir musim 2019.