Ketangkasan penjaga gol Manchester United tidak boleh disangkal lagi apabila gawangnya tidak dibolosi dalam 17 aksi saingan Liga Perdana Inggeris musim ini.
Beliau juga sudah empat musim berturut-turut berada dalam senarai PFA Team Of The Year.
Prestasi baik yang ditampilkan penjaga gol berusia 27 tahun itu memberikan satu petunjuk bahawa beliau sangat menginginkan lebih trofi kejuaraan di Old Trafford terutamanya Liga Perdana Inggeris (EPL).
De Gea tidak pernah memenangi kejuaraan EPL sejak Sir Alex Ferguson bersara pada musim 2012/13, menyaksikan hanya kejuaraan Liga Europa, Piala FA dan Piala EFL sebagai kejayaan yang pernah dikecapinya selepas itu.
Namun, kejayaan yang diimpikan itu hanya boleh diusahakan pada musim hadapan selepas Manchester City telah pun dinobatkan selaku juara EPL musim ini.
Peluang De Gea untuk merebut kejuaraan pada musim ini menjelma dalam saingan Piala FA apabila Manchester United akan bertemu Chelsea pada perlawanan akhir di Stadium Wembley pada bulan 20 Mei nanti.
Beliau yang mahukan kejuaraan tersebut bagi menamatkan musim 2017/18 dengan satu piala, berkata:
”Saya bermain dengan baik, saya yakin tetapi perlu mengekalkannya dan memenangi trofi. Itulah yang dilakukan oleh pemain kelas dunia,” ujar De Dea kepada Daily Mail.
Kembali mengulas mengenai sasaran untuk memenangi kejuaraan terutamanya EPL, De Gea percaya bahawa Manchester United mampu untuk kembali menakluk bola sepak Inggeris.
”Ianya amat ganjil (ketika di bawah Luis Van Gaal). Menamatkan saingan di tempat keempat adalah tidak cukup baik.”
”Saya mahu kemenangan. Jika anda di United, anda memerlukan pengurus dengan mentaliti kemenangan. Kami memilikinya ketika bersama Ferguson. Mourinho juga mempunyai mentaliti yang sama. Dia mahu menang di setiap perlawanan.”
”Kami mengalami waktu yang sukar selepas Ferguson bersara. Ianya sukar untuk dikenalpasti.”
”Kejuaraan yang saya inginkan. Kami perlu untuk menjadikan United di tahap terbaik, kembali dalam Liga Juara-Juara Eropah, kembali sebagai juara England, kembali ke puncak.”