Istilah ‘forfeit game’ pastinya sangat popular di kalangan pemain FIFA terutama sekali pemain atas talian.
Sebuah kelab di Bolivia, Club Univesitario telah dicemuh seluruh negara dan dilabel memalukan. Ini selepas kelab tersebut tidak membayar gaji pemain-pemain mereka selama beberapa bulan.
Pemain-pemain senior pasukan tersebut telah mengambil keputusan untuk mogok sebagai bantahan kepada tindakan tidak bertanggungjawab kelab tersebut.
Namun begitu, dalam perlawanan menentang Wilstermann, mereka menurunkan pemain muda sebagai langkah untuk meneruskan kempen mereka musim ini.
Pengurus pasukan, Oscar Sanz turut menurunkan penjaga gol berusia 15 tahun, Santiago Arancibia, yang merupakan pemain paling muda dalam perlawanan tersebut.
Pada separuh masa pertama sahaja, pasukan Wilstermann yang merupakan pendahulu Liga Primera A Bolivia menjaringkan 7 gol.
Lebih memburukkan keadaan, hanya 7 pemain sahaja yang masuk kepada pada separuh masa kedua. Ini selepas 4 pemain muda mereka gagal meneruskan perlawanan kerana kecederaan.
Ianya kerana pemain tidak mampu bersaing dengan pemain-pemain yang fizikal dan latihan yang tidak secukupnya untuk menghadapi perlawanan ini.
Beberapa minit selepas separuh masa kedua disambung, seorang lagi pemain Universitario cedera membuatkan mereka hanya tinggal 6 pemain.
Mereka terpaksa menarik diri daripada perlawanan kerana tidak ada pemain lagi yang boleh bermain. Pengurus Winstermann berkata:
“Penamat seperti ini lebih teruk daripada tewas 20-0.”
Ricardo Pedriel yang menjaringkan hatrik dalam perlawanan itu bersimpati dengan Universitario.
Ini bukan kali pertama Universitario menarik diri dalam perlawanan. Pada 2015, mereka memberikan kemenangan percuma 3-0 kepada Bolivar kerana membantah jadual liga yang padat.
Mereka memohon jadual perlawanan ditunda kerana mahu fokus kepada Copa Libertadores.
Persatuan Bola Sepak Bolivia pasti akan melakukan sesuatu ke atas kelab ini terutama sekali isu pembayaran gaji.