Kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC tetap memburu 3 mata penuh walaupun mereka hanya memerlukan keputusan seri untuk memastikan tempat ke pusingan seterusnya dalam saingan Piala AFC 2018 terjamin.
Menurut penolong jurulatih Song Lam Nghe An FC, Nguyen Huy Hoang, pasukannya tidak akan memandang mudah pada cabaran Johor Darul Ta’zim (JDT) dan menjangkakan tuan rumah pasti akan menyerang habis-habisan di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin, malam ini.
“Kami memburu satu mata sahaja untuk layak ke separuh akhir namun kami akan tetap beri tentangan sengit kepada JDT dalam perlawanan itu.
“Andai menang, bonus buat kami kerana JDT adalah pasukan hebat dan ia juga mungkin membantu kami muncul juara kumpulan.
“Apa yang melegakan saya, kami akan turun dengan kesebelasan terbaik kerana semua pemain bebas daripada kecederaan. Namun kami tetap buat persiapan rapi untuk berdepan JDT yang dibarisi pemain berkualiti,” katanya seperti dipetik dalam Berita Harian.
Song Lam juga bakal diperkuatkan dengan 3 pemain skuad kebangsaan Vietnam yang berpengalaman. Berdasarkan carian di internet, 3 pemain ini beraksi di posisi pertahanan dan tengah serta beraksi dalam saingan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Jordan bulan Mac lalu.
“Kami diperkuatkan tiga pemain kebangsaan Vietnam dan ia beri keyakinan untuk berdepan JDT dan saya jangkakan ia perlawanan sengit walaupun kami menang 2-0 pada aksi pusingan pertama,” katanya.
Song Lam Nghe An FC kini berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata dan kini bersaing dengan kelab Indonesia, Persija Jakarta yang turut mengumpul 10 mata, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan selaku pendahulu kumpulan.
Kelab dari Vietnam itu bukan sahaja memburu slot tempat kedua terbaik dalam Zon ASEAN malah berpeluang muncul juara kumpulan jika berjaya menewaskan JDT sambil berharap Persija tewas kepada Tampines Rovers.