Juara Liga Super 2017, Johor Darul Ta’zim (JDT) berdepan tugas berat untuk memburu slot ke pusingan yang seterusnya dalam saingan Piala AFC apabila bakal melayan kunjungan kelab dari Vietnam, Song Lam Nghe An FC di Stadium Tan Sri Hassan Yunos, Larkin malam ini.
JDT kini berada di tangga ketiga dalam kumpulan H selepas mengumpul tujuh mata dan perlu menang besar ke atas anak didik Nguyen Duc Thang yang hanya turun mencari keputusan seri untuk mara ke peringkat seterusnya.
Song Lam pula berada di tangga kedua selepas mengumpul 10 mata dan bersaing dengan pendahulu kumpulan, Persija Jakarta yang turut mengumpul 10 mata, namun dipisahkan dengan perbezaan jaringan.
Mengikut peraturan AFC, juara Kumpulan F, G dan H akan layak secara automatik ke separuh akhir zon Asean Piala AFC. Walaupun sedar misi untuk layak ke pusingan seterusnya tampak mustahil, pengendali JDT, Raul Longhi menegaskan pasukannya tetap memburu kemenangan dan tiada akan berputus asa.
“Pasukan Song Lam Nghe An merupakan satu pasukan yang hebat dan mempunyai struktur organisasi yang baik. Mereka mempunyai barisan serangan yang laju, namun sekiranya kami bermain bola sepak dengan sepenuh komitmen maka saya dapat rasakan peluang yang cerah untuk memenangi perlawanan tersebut.
“Di dalam bola sepak tiada apa yang mustahil. Kami akan cuba memenangi perlawanan dengan jaringan yang banyak, mungkin lima jaringan. Kenapa tidak? Terdapat banyak kebarangkalian di dalam bola sepak. Namun apa yang penting adalah kami mahukan kemenangan,” katanya seperti dipetik dalam satu kenyataan di laman facebook Johor Southern Tigers.
Baru-baru ini, JDT tersingkir daripada saingan Shopee Piala FA apabila tewas kepada Pahang melalui aggregat 0-3 di peringkat suku akhir. Namun begitu, kekalahan itu ternyata tidak menjejaskan tumpuan pemain JDT untuk memastikan mereka terus bersaing dalam Piala AFC.
“Kami mempunyai banyak perlawanan namun para pemain telah melakukan persiapan sebaiknya untuk perlawanan ini. Kami mahu memberikan tumpuan kepada perlawanan bertemu pasukan Song Lam Nghe An, ia adalah perkara yang utama.
“Kemungkinan kami akan melakukan pertukaran beberapa pemain kerana esok merupakan satu lagi perlawanan yang berbeza. Beberapa pemain juga perlu direhatkan.
“Ini kerana kami masih mempunyai satu lagi perlawanan penting Sabtu ini iaitu bertemu Kelantan untuk saingan Liga Super,” katanya.