Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Arsenal, Ivan Gazidis percaya bekas pemain mereka, Mikel Arteta yang kini merupakan pembantu kepada Pep Guardiola di Manchester City bakal mengisi kekosongan jawatan pengurus pasukan untuk musim hadapan.
Di sebalik kekurangan pengalaman bagi mengendali pasukan, Gazidis percaya Arteta mempunyai kelayakan untuk menempa kejayaan di Arsenal selaku pengurus pasukan.
Arteta, 36 tahun, mendapat pengalaman berharga dalam bidang kejurulatihan setelah bekerjasama dengan Pep bermula Julai 2016 di Stadium Etihad.
Namun begitu, Gazidis bersama-sama ketua operasi bola sepak, Raul Sanllehi dan ketua pemantau bakat, Sven Mislintat akan mengadakan perbincangan pada minggu ini untuk menyenaraikan pengganti yang sesuai untuk mewarisi peninggalan Wenger itu nanti.
Menurut laporan dari Sky Sports, setiap individu tersebut mempunyai pilihan mereka yang tersendiri.
Bagi Sanllehi yang juga merupakan bekas pengarah bola sepak di Barcelona, beliau lebih memilih Luis Enrique sebagai pilihan utamanya untuk menduduki kerusi panas tersebut.
Seperti sedia maklum, Enrique mempunyai rekod yang agak baik dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah selepas membantu Barcelona meraih dua kejuaraan berprestij itu dan kehadirannya di London dilihat sebagai satu keputusan yang ideal.
Sven Mislintat turut mempunyai pilihan beliau sendiri apabila lebih melihat pengurus berusia 30 tahun dari Hoffenheim, Julian Nagelsmann dan pengendali Schalke 04, Domenico Tedesco sebagai calon yang sesuai.
Sebelum ini bekas pengurus Borussia Dortmund iaitu Thomas Tuchel antara nama yang disebut-sebut bakal menjadi pengganti Wenger, namun beliau dilaporkan akan menggantikan Unai Emery di Paris Saint-Germain (PSG).
Keadaan ini mungkin ‘sukar’ buat Arsenal untuk membuat keputusan selepas hampir 22 tahun pengurusan tertinggi kelab tidak perlu memikirkan soal kemasukan pengurus baru sejak kehadiran Arsene Wenger pada Oktober 1996.