Kelab Bola Sepak Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS FC) menghampakan puluhan ribu penyokong Perak di Stadium Perak, Ipoh selepas mencatatkan keputusan seri 2-2 sekaligus melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Shopee Piala FA Malaysia 2018 dengan kelebihan agregit 4-3.
Separuh masa pertama
Pertemuan ketiga buat kedua-dua pasukan pada musim ini memperlihatkan corak permainan pantas sejak awal perlawanan.
Pemain import PKNS FC, Muhammad Faris Ramli hampir mengejutkan penyokong tuan rumah pada minit ke-23.
Percubaan dari luar kotak penalti dari pemain kelahiran Singapura itu hasil hantaran lintang Romel Oswaldo Morales Ramirez sedikit tersasar di sebelah kanan pintu gol Perak.
Gerakan dan serangan yang dilancarkan pasukan pelawat lebih mengancam pada babak pertama dengan Faris Ramli menjadi duri dalam daging bagi mengkucar-kacirkan pertahanan Perak.
Penyerang berbisa PKNS FC, Rafael Ramazotti De Quadros turut memperoleh peluang keemasan bagi mencipta jaringan pembukaan.
Rembatan padu yang dilakukannya selepas hanya berhadapan dengan Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy berjaya dinafikan penjaga gol kebangsaan itu.
Perak yang kembali beraksi di gelanggang keramat mereka buat pertama kali musim ini turut mendapat peluang terbaik pada minit ke-35.
Namun, Wander Luiz Bitencourt Junior yang menerima hantaran jauh dari Robert Richard Corthwaite lalu berjaya melepasi kawalan pertahanan lawan hanya menyepak lemah untuk mudah ditangkap Mohd Shahril Sa’ari di gawang PKNS FC.
Permainan semakin menarik pada babak akhir babak pertama selepas percubaan dari Ramazotti sekali lagi dihalang Hafizul Hakim hasil permainan ‘one two’ dengan Faris Ramli.
Sebaik sahaja percubaan tersebut dipatahkan, Perak pula melakukan serangan balas pantas dengan Mohd Nor Hakim Hassan memperoleh peluang keemasan.
Nor Hakim yang mempunyai pilihan untuk melakukan hantaran kepada Gilmar Jose Da Silva yang tidak dikawal pertahanan bagaimanapun memilih untuk membuat percubaan yang melewati palang gol.
Separuh masa kedua
Memasuki babak kedua, PKNS FC tidak menunggu lama untuk membuka jaringan menerusi pemain pertahanan, Rodney Celvin Akwensivie.
Berpunca daripada sepakan penjuru di sebelah kanan pintu gol Perak, Rodney yang berada di luar kotak penalti meledakkan satu rembatan yang terus menerjah jaring bagi menewaskan Hafizul Hakim pada minit ke-54.
Jaringan tersebut ternyata meningkatkan moral anak buah Datuk K. Rajagopal untuk terus memburu jaringan.
Akibat kekasaran yang dilakukan Kenny Pallraj terhadap Faris Ramli pada minit ke-63, pengadil perlawanan, Muhammad Nazmi Nasaruddin menghadiahkan sepakan penalti buat PKNS FC.
K. Gurusamy yang mengambil sepakan tersebut tidak mensia-siakan peluang bagi menambah jaringan kedua.
Tertekan dengan dua jaringan tersebut, Perak bekerja keras untuk cuba bangkit bagi kembali mencabar kedudukan setelah menjaringkan gol pada minit ke-72 menerusi Nasir Basharudin.
Perak menambah jaringan kedua pada minit ke-82 juga menerusi Nasir setelah melakukan percubaan dari sebelah kiri untuk membolosi gawang PKNS FC.
Usaha berterusan Perak untuk terus memburu jaringan tidak kesampaian selepas Nazmi meniupkan wisel penamat untuk membawa PKNS FC ke peringkat separuh akhir.
Perak – Muhammad Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy (PG), Kenny Pallraj (Mohd Nizad Ayub), Mohamad Idris Ahmad, Robert Richard Corthwaite, Nazirul Naim Che Hashim, Mohamad Nasir Basharudin (K), Leandro Dos Santos Oliveira, Mohd Nor Hakim Hassan (Rafiuddin Roddin), Mohd Nazrin Mohd Nawi (Ahmad Khairil Anuar Zamri), Wander Luiz Bitencourt Junior & Gilmar Jose Da Silva Filho
PKNS FC – Mohd Shahril Sa’ari (PG), K. Reuben (Shahrul Azhar Ture), Rodney Celvin Akwensivie, Azmizi Azmi (K), Daniel Sang Ting, K. Gurusamy, Jonatan Leonel Acosta, Mahalli Jasuli (Jafri Firdaus Chew), Muhammad Faris Ramli, Romel Oswaldo Morales Ramirez & Rafael Ramazotti De Quadros