Perkara perit perlu dihadapi apabila sebuah kelab yang pernah mencuri tumpuan dunia, kini terpaksa mengharungi aksi divisyen bawahan.
Itulah dialami oleh Malaga, sebuah kelab dari Sepanyol. Kelab itu masih dimiliki oleh hartawan dari Qatar.
Hartawan dimaksudkan ialah Abdullah ben Nasser al Thani.
Musim cemerlang seketika
Ramai pihak menjangka, kelab ini bakal memecahkan dominasi El Clasico. Ini disebabkan begitu banyak pelaburan yang dibuat untuk para pemain.
Tambahan pula, mereka memilih pengurus berpengalaman, Manuel Pellegrini. Pada musim 2011/12, Malaga meraih kedudukan keempat dalam saingan Premiera Liga.
Mereka meraih slot play-off UEFA Champions League pada 2012/13. Kelab itu mara sehingga ke suku akhir. Perjuangan mereka tamat di suku akhir kepada finalis musim itu, Borussia Dortmund.
Namun, mereka berjaya menduduki tangga ke-6 Premiera Liga pada musim itu.
Musim yang ingin dilupakan
Sebenarnya, kedudukan Malaga pada musim lalu ialah di kelompok pertengahan liga. Entah mengapa, mereka jatuh mendadak pada musim ini.
Di bawah kendalian Jose Gonzalez sejak Januari lalu, mereka menjunam hingga berada di kedudukan dasar liga.
Daripada 33 perlawanan yang diharungi setakat ini, Malaga hanya mampu meraih 17 mata. Mata itu dikutip melalui 4 kemenangan dan 5 seri.
Dipercayai antara faktor kejatuhan itu ialah perpindahan Sandro Ramirez ke Everton. Selain itu, Ignacio Camacho juga berpindah ke kelab Jerman, Wolfsburg.
Malaga sah bermain di Segunda Liga musim hadapan apabila mereka tewas kepada Leganes pada hujung minggu lepas. Gol tunggal pada minit kecederaan oleh Emmanuel Boateng telah meranapkan peluang Malaga untuk kekal di Premiera Liga.
Sekiranya mereka menang ke atas Leganes, masih berpotensi untuk mereka keluar dari zon penyingkiran. Itu pun jika menang semua baki 5 perlawanan.
Penutup
Tidak semestinya kelab yang kaya mampu bertahan dalam liga yang kompetitif. Mungkin kehadiran ikan besar dalam kolam yang kecil menarik perhatian ramai.
Segunda Liga sebenarnya masih dianggap terbelakang berbanding EFL Championship atau 2.Bundesliga. Mungkinkah suatu hari nanti Malaga akan kembali?
Itu pun jika perjalanan kempen musim hadapan mereka akan mudah.