Kecederaan pemain utama tidak akan memadam misi Pahang untuk mengisi slot separuh akhir Piala FA, apabila berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) pada saingan suku akhir kedua di Larkin, malam ini.
Pengurus Pahang, Datuk Mohammed Suffian Awang berkata kepada Utusan Malaysia, dalam bola sepak, apa sahaja kemungkinan boleh berlaku dan pemain skuad Tok Gajah sudah bersiap sedia sepenuhnya untuk mengharungi perlawanan penting tersebut.
“Kita hadir ke Larkin (Stadium Tan Sri Hassan Yunos) sebagai pasukan underdog dan kita menghormati JDT sebagai sebuah pasukan yang kuat dalam saingan Liga Malaysia.
“Kesemua pemain telah bersiap sedia dari segi mental dan fizikal untuk perlawanan suku akhir kedua berkenaan,” katanya.
Suffian turut mengesahkan 2 tonggak utama yang tidak beraksi dalam saingan Liga Super menentang Kuala Lumpur minggu lepas akan kembali beraksi malam ini.
“Sebelum ini kita berdepan dengan masalah kecederaan pemain membabitkan kapten, Matthew Davies dan pemain tengah dari Singapura, Safuwan Baharuddin.
“Namun, kedua-dua pemain itu telah pulih sepenuhnya dan akan kembali beraksi. Pemain lain juga dalam keadaan baik dan bersemangat untuk beraksi,” ujarnya
Sementara itu, pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih menegaskan mereka tetap berpeluang mencipta kejutan di gelanggang keramat JDT.
“Peluang masih lagi terbuka kerana pemain yang akan mengisi kekosongan itu juga mampu memikul tanggungjawab yang diberikan jurulatih (Dollah Salleh).
“Saya percaya semua pemain akan mempamerkan semangat juang tinggi walaupun tanpa pemain utama.
“Memang ketiadaan mereka amat dirasai selepas berjaya layak ke suku akhir, tetapi dengan berbaki 90 minit perlawanan, kami akan cuba melakukan yang terbaik,” katanya.
Jadi, Nor Azam menegaskan Tok Gajah tidak akan memberi laluan mudah kepada JDT walaupun lawan mempunyai kelebihan aksi di laman sendiri.
“Kami akan melakukan segala-galanya. Walaupun sekadar seri tanpa jaringan pada suku akhir pertama, ia tidak melunturkan semangat kami kerana masih ada peluang kedua,” kata pemain 23 tahun itu.