Para penyokong setia pasukan Perak sudah pasti akan menyedari kelibat P. Gunasekaran yang pernah menyarung jersi skuad ‘Yob’ dari tahun 1997 hingga 2001.
Walaupun nama beliau tidaklah begitu popular seperti M. Nagaraja yang lebih meniti di bibir peminat, sumbangan yang pernah dicurahkan anak jati Teluk Intan ini sudah cukup untuk diingati.
Selain beraksi bersama Perak, beliau juga pernah bermain untuk pasukan Negeri Sembilan Chempaka, Johor dan UPB-MyTeam
Latar belakang
Pemain lincah yang beraksi di bahagian sayap kiri ini lahir pada 7 Julai 1974.
P. Gunasekaran yang mendapat pendidikan di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Muda Musa, Teluk Intan aktif bermain bola sepak sekaligus terpilih untuk mewakili Hilir Perak bagi menghadapi Majlis Sukan Sekolah-Sekolah Perak (MSSPK).
Dari situlah beliau menanamkan impian bagi mengubah nasib keluarganya yang susah untuk menyarung jersi Perak.
Rintangan dan kekecewaan dalam usaha menggapai impian
Bagi merealisasikan impian tersebut, selepas menamatkan zaman persekolahan pada tahun 1992, Gunasekaran memilih untuk mencuba nasib dalam sesi pemilihan pemain Piala Presiden Perak.
Namun, ianya tidak semudah yang disangka apabila usaha sejak dari tahun 1992 hingga 1994, pengorbanan menaiki bas dari Teluk Intan ke Ipoh seringkali menemui kegagalan.
Disebabkan kekecewaan tersebut, P. Gunasekaran hanya beraksi di Liga Teluk Intan bagi meningkatkan permainannya.
Sinar cerah kembali menjelma buat Gunasekaran pada tahun 1995 setelah jurulatihnya ketika beraksi untuk pasukan Hilir Perak iaitu ‘Cikgu’ Mokhtar Manaf merupakan jurulatih skuad Piala Presiden Perak ketika itu.
Sudah mengetahui corak permainan dan kualiti anak buahnya itu, jurulatih tersebut telah menyenaraikan nama P. Gunasekaran untuk menyertai pasukan.
Bercakap mengenai kesusahannya, beliau pernah bermalam di Masjid Sultan Idris Shah II (Masjid Negeri) selama dua hari semata-mata untuk menyertai sesi pemilihan yang berlangsung di Ipoh.
Begitu juga terpaksa berjalan kaki hampir 2.5KM dari Fair Park ke Padang Taman Rekreasi Sultan Abdul Aziz (Padang Polo) untuk sesi latihan kerana ketiadaan kenderaan tidak langsung melemahkan semangatnya.
Dapat perhatian Ketua Jurulatih Perak
Ketua jurulatih Perak musim 1995, Ken Shellito sering menyaksikan perlawanan melibatkan skuad Piala Presiden dan tertarik dengan aksi P.Gunasekaran bersama-sama M. Nagaraja, Khalid Jamlus dan Mahendran untuk diserapkan ke saingan Piala Malaysia.
Itu merupakan pendedahan yang terbaik diterima keempat-empat pemain tersebut sebelum meloloskan diri ke skuad utama Perak.
Kesempatan diberikan itu digunakan sepenuhnya dan Khaidir Buyong yang menggantikan Shellito untuk membawa P. Gunasekaran bagi bersama skuad Liga Perdana (liga utama ketika itu) Perak.
Detik indah
Kepayahan Gunasekaran selama ini dalam mengejar impian akhirnya berbalas selepas beliau turut berjaya membantu Perak meraih kejuaraan Piala Malaysia tahun 1998 dan 2000.
Kejayaan pada tahun 1998 itu begitu indah selepas kali terakhir Perak memenangi piala tersebut pada tahun 1970.
Antara sumbangan Gunasekaran yang akan terus tersemat di minda peminat adalah jaringan dari jarak jauh beliau ketika membantu Perak menamatkan sisa perjuangan Selangor (menang 3-0) dalam aksi separuh akhir kedua Piala Malaysia 2000 di Stadium Perak, Ipoh.
Beliau juga turut memulakan gerakan terhadap jaringan kedua yang dihasilkan V. Saravanan pada perlawanan akhir ketika bertemu Negeri Sembilan di Stadium Shah Alam.
Rakan sepasukan
Mengulas mengenai rakan sepasukannya, P. Gunasekaran mengganggap Khairul Anuar Baharom dan Janos Krescka merupakan pemain pertahanan yang begitu sukar untuk ditembusi olehnya ketika sesi latihan.
Bagi jentera tengah pula, beliau memilih Azrul Amri Burhan sebagai arkitek yang menjadi pilihannya. Visi dan daya kreativiti Azrul dalam melakukan hantaran serta mengawal bahagian tengah jelas memudahkan beliau untuk melakukan larian di sayap kiri.
Penyerang sudah pastinya Laszlo Repasi adalah yang terbaik buatnya walaupun Khalid Jamlus juga tidak kurang hebatnya.
Bagi beliau, Repasi merupakan penyerang tulen yang begitu berbisa dihadapan gol dan juga sering memberikan nasihat dan tunjuk ajar ketika di luar padang.
P. Gunasekaran ketika ini
Setelah bersara dari kancah bola sepak tempatan, beliau berkecimpung dalam bidang perniagaan.
Gunasekaran yang masih mampu bermain bola sepak dengan baik turut beraksi bersama Pasukan Menteri Besar Perak, pasukan yang diketuai Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir (Menteri Besar Perak ketika artikel ini ditulis).
Pasukan ini juga menggamit nostalgia Gunasekaran kerana menemukan kembali beliau bersama rakan seperjuangan yang turut beraksi bersama pasukan tersebut seperti Chan Kok Heng, Ahmad Shahrul Azhar Sofian, Syamsol Saad dan ramai lagi.