Pengendali baharu Gergasi Merah, Muhammad Nazliazmi mengakui kecewa dengan kekalahan besar 0-4 kepada Kedah dalam aksi Liga Super di Stadium Darulaman, kelmarin.
Bercakap kepada Berita Harian, beliau mengakui perancangan yang dilakukannya serba tidak menjadi dan pasukannya bermain di bawah tahap sebenar.
“Perancangan yang dibuat tidak menjadi dan apa yang membezakan pada perlawanan ini adalah Selangor bermain di bawah keupayaan sebenar.
“Sebagai jurulatih saya akui Kedah bermain dengan baik.
“Jika dilihat setiap posisi Selangor ada kekurangan dan Kedah dapat keluar daripada tekanan yang dilakukan oleh pemain Selangor.
“Saya bertanggungjawab diatas kekalahan pada malam ini (kelmarin) dan tidak menyalahkan pemain seratus peratus kerana ada masa persembahan naik dan ada masanya persembahan turun,” katanya.
Beliau turut menganggap pertukaran jurulatih skuad Helang Merah itu merupakan faktor yang mendorong kebangkitan pemain lawan untuk menewaskan pasukannya.
“Pertukaran jurulatih juga antara faktor kebangkitan Kedah yang bangkit dari prestasi sebelumnya dan selain dari itu, tempoh rehat yang lebih lama memberi kelebihan kepada tuan rumah untuk membuat persiapan rapi.
“Saya akan beritahu kepada pemain dan pasukan Selangor yang kita ada lagi perlawanan besar yang perlu kita selesaikan dengan Kuala Lumpur pada minggu hadapan dan saya berharap semuanya akan kembali berjalan dengan baik.
“Buat masa ini saya sebagai ketua jurulatih perlu memastikan motivasi pemain sentiasa berada pada tahap yang terbaik dan bersedia untuk bertemu dengan Kuala Lumpur,” katanya.