Pengurus Manchester City, Josep ‘Pep’ Guardiola menegaskan bahawa skuad bimbingannya masih boleh tergelincir dan membolehkan Manchester United untuk merangkul kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Manchester City hanya memerlukan lima mata dari baki enam perlawanan Liga Perdana Inggeris untuk memastikan gelaran liga menjadi milik mereka.
”Ianya boleh terjadi,” kata Guardiola.
”Bola sepak adalah satu emosi. Kami hanya boleh mencuba untuk fokus dan memenangi perlawanan bertemu Tottenham dan kemudiannya Swansea City.”
”Hakikatnya, sejak November atau Disember, kami telah menjadi juara. Apabila saya mendengar pundit dan penyokong pada November, mereka mengatakan segalanya sudah selesai, mustahil buat City untuk keciciran mata.”
”Dalam masa seminggu, kami telah tewas dalam tiga perlawanan, itulah yang terjadi.”
”Kami mampu untuk menang pada dua perlawanan (untuk mengesahkan kejuaraan) dan kami akan melakukannya. Kami mengawal tekanan diantara detik yang baik dan buruk untuk keseluruhan musim, bukan hanya dalam tempoh ini sahaja.”
”Menangani tekanan penghujung musim adalah baik buat masa depan kami. Kami perlu untuk mengendalikannya. Jika kami tidak mampu dan United memenangi liga, maka boleh mengucapkan ‘tahniah’.”
”Sudah tentu itu boleh terjadi. Saya memberikan jaminan. Real Madrid, beberapa tahun yang lalu. Mereka tewas enam perlawanan berturut-turut dan tidak memenangi liga.”
”Sudah pasti ianya boleh terjadi, tiada keraguan mengenai perkara itu. Para pemain mengetahuinya dan saya tidak perlu memberitahu kepada mereka tentang perkara ini.”
Awal pagi esok, Manchester City akan bertemu Tottenham Hotspur di Wembley dalam misi untuk meraih mata penuh sekaligus bagi mendekatkan The Cityzen dengan kejuaraan EPL.
Manchester City kini mendahului Manchester United dengan kelebihan 13 mata ketika perlawanan hanya berbaki 6 perlawanan sahaja lagi.