Bintang Liverpool dari Mesir, Mohamed Salah percaya pasukannya mampu untuk menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah (UCL) musim ini selepas berjaya melayakkan diri ke peringkat separuh akhir kejohanan tersebut.
Pemain yang telah menjaringkan 39 gol musim ini bersama The Reds, yakin dengan keupayaan dimiliki Liverpool untuk merealisasikan impiannya itu.
Liverpool berjaya mengenepikan cabaran Manchester City pada peringkat suku akhir manakala AS Roma melakukan kejutan untuk bangkit bagi menyingkirkan Barcelona.
”Kami boleh memenanginya (Liga Juara-Juara Eropah). Kami kini telah berada dalam persaingan separuh akhir,” ujar Salah kepada CNN.
”Saya sentiasa mengatakan bahawa kami perlu mengambil langkah demi langkah tetapi kami sudah berada di saingan separuh akhir dan segalanya boleh berlaku.”
”Semua orang melangkah ke suku akhir dengan emosi yang kami perlu menang, kami boleh melakukannya. Sekarang, dengan separuh akhir, iaitu dua perlawanan untuk ke langkah terakhir (perlawanan akhir).”
Sementara itu, walaupun berkelebihan empat gol mendahului Harry Kane dalam senarai penjaring terbanyak Liga Perdana Inggeris, Salah menyifatkan Kane lebih berpeluang cerah untuk menggondol anugerah peribadi tersebut.
”Harry Kane dan Sergio Aguero adalah penyerang. Mereka bermain sebagai ‘nombor sembilan’, saya pula lebih beraksi sebagai pemain sayap.”
”Ianya lebih mudah buat mereka kerana mereka sentiasa berada dihadapan gol tetapi saya di bahagian sayap. Ia sedikit lebih sukar kerana saya perlu untuk melakukan bantuan gol. Saya perlu memberikan bola kepada penyerang dan mencipta peluang.”
Mohamed Salah juga turut mengulas mengenai perbandingan yang dilakukan orang ramai terhadap dirinya dengan Lionel Messi.
”Saya akan membiarkannya untuk orang lain. Mereka boleh mengatakan apa sahaja yang mereka lihat, tetapi setiap perlawanan saya berfikir untuk membantu pasukan mendapatkan mata, menjaringkan gol.”