Sejak kebelakangan ini desas-desus jelas kedengaran bahawa Gareth Bale bakal meninggalkan Santiago Bernabeu dengan Manchester United dilaporkan berminat untuk membawa pemain antarabangsa Wales ini kembali pulang menabur bakti di England.
Bagi bekas pengurus skuad kebangsaan Wales, Chris Coleman, Bale akan menyertai kelab gergasi yang lain sekiranya pemain berusia 28 tahun itu memilih untuk melangkah keluar dari Madrid.
Masalah kecederaan yang sering dihadapinya memaksa Bale hanya beraksi di kesebelasan utama pada 16 perlawanan sahaja.
Ia juga disebabkan Zinedine Zidane lebih memilih untuk menurunkan Isco di kesebelasan utama Real Madrid musim ini.
Pada perlawanan bertemu Juventus semalam, Gareth Bale hanya diberikan peluang beraksi pada babak pertama dan kemudiannya digantikan sebelum sepak mula separuh masa kedua.
”Berapa lama lagi dia (Gareth Bale) akan kekal disana (Real Madrid)? Adakah lima tahun lagi?” ujar Coleman, yang kini merupakan pengendali Sunderland.
”Selepas tahun pertamanya apabila saya mengadakan sidang media skuad kebangsaan Wales, mereka selalu bertanyakan, ‘Media di Sepanyol tidak gembira dengannya, adakah dia mempunyai masa depan disana?’ Saya fikir dia telah memenangi tiga trofi Liga Juara-Juara Eropah disana.”
”Baiklah, dia telah melakukan tugas dengan baik disana, tetapi kali terakhir saya bercakap dengannya, dia gembira di Madrid, keluarganya juga selesa disana.”
”Di mana dia akan pergi? Tidak ada tempat yang lebih besar. Jadi jika dia meninggalkan Real Madrid, ke mana dia akan pergi?”
”Ianya perlu mempunyai kelab gergasi yang lain lagi.”