Arsenal masih dalam landasan yang tepat untuk merangkul kejuaraan Liga Europa 2017/18 selepas menewaskan CSKA Moscow dengan agregit 6-3 apabila terikat 2-2 pada perlawanan kedua peringkat suku akhir di VEB Arena awal pagi tadi.
Dua jaringan pada lewat permainan menerusi Danny Welbeck dan Aaron Ramsey memadamkan api perjuangan skuad tuan rumah yang mendahului dua gol pada minit ke-50.
Sebelum perlawanan bermula, Arsenal berkelebihan tiga jaringan selepas menang 4-1 dalam perlawanan suku akhir pertama yang berlangsung di Stadium Emirates.
Skuad bimbingan Viktor Goncharenko membuka tirai jaringan pada minit ke-39.
Fedor Chalov menceriakan penyokong tuan rumah selepas beliau menyempurnakan peluang susulan tandukan Kirill Nababkin yang berjaya ditepis keluar Petr Cech.
Chalov pantas menghidu peluang apabila beliau melepasi kawalan dari Shkodran Mustafi untuk menolak masuk bola bagi gol pertama buat CSKA Moscow.
Jaringan dari pemain berusia 20 tahun itu kekal hingga tamat babak pertama.
Memasuki babak kedua, tuan rumah terus memberikan tekanan buat Arsenal dengan jaringan kedua yang terhasil pada minit ke-50.
Kali ini giliran Nababkin pula membolosi gawang yang dikemudi Cech walaupun penjaga gol berpengalaman itu pada mulanya cemerlang menafikan percubaan dari jarak jauh yang dilakukan Aleksandr Golovin.
Ketinggalan dua gol tidak membuatkan anak buah Arsene Wenger melatah dengan keadaan tersebut.
Kesabaran mereka berbalas selepas Danny Welbeck kembali menjarakkan defisit jaringan dengan jaringan pada minit ke-75.
Welbeck yang menerima lorongan menarik dari Mohamed Elneny dalam kotak penalti dengan tenang melakukan percubaan bagi merobek gawang CSKA Moscow.
Pemain tengah dari Wales, Aaron Ramsey menoktahkan perjuangan tuan rumah dengan jaringan pada masa kecederaan untuk mengesahkan kemaraan Arsenal dalam usaha mengekalkan trofi kejuaraan Liga Europa untuk kekal di bumi England.
Keputusan perlawanan lain
Wakil Perancis, Marseille bangkit dari ketinggalan satu jaringan pada perlawanan pertama untuk menang 5-2 sekaligus layak ke separuh akhir dengan agregit 5-3 keatas RB Leipzig.
Satu lagi pasukan pilihan juara, Atletico Madrid tewas 1-0 ditangan Sporting CP, namun ianya tidak menghalang mereka untuk turut sama beraksi di peringkat empat pasukan terakhir dengan agregit 2-1.
Red Bull Salzburg dari Austria mencipta kejutan selepas menundukkan Lazio dengan keputusan 4-1 untuk memadamkan kelebihan 4-2 wakil Itali itu pada perlawanan pertama.
Salzburg layak dengan keputusan agregit 6-5.