Jaringan lewat permainan menerusi sepakan penalti oleh Cristiano Ronaldo bukan sahaja membawa Real Madrid melayakkan diri ke peringkat separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah (UCL), malah turut mencipta beberapa rekod peribadi buat bintang dari Portugal itu.
Gol yang meranapkan impian skuad bimbingan Massimiliano Allegri itu merupakan koleksi ke-10 buat Ronaldo ketika menentang Juventus dalam saingan UCL.
Pencapaian tersebut telah melebihi mana-mana pemain yang beraksi menentang satu-satu pasukan dalam saingan berprestij di Eropah itu.
Sebelum perlawanan bermula, Ronaldo berkongsi rekod dengan seteru utama, Lionel Messi apabila menjaringkan 9 gol menentang lawan yang sama dalam UCL.
Messi telah menghasilkan sembilan gol dalam pertemuan menentang Arsenal.
Lebih mengagumkan, menurut statistik dari OptaJohan, Ronaldo turut menjadi satu-satunya pemain yang menjaringkan 15 gol dalam satu musim dan beliau telah melakukannya sebanyak tiga kali.
15 – 15 or more goals in a single Champions League campaign:
Cristiano Ronaldo in 2013/14 (17)
Cristiano Ronaldo in 2015/16 (16)
Cristiano Ronaldo in 2017/18 (15).
Saviour.— OptaJohan (@OptaJohan) April 11, 2018
Cristiano Ronaldo menjaringkan dua gol ketika Real Madrid menang 3-0 di Allianz Stadium bagi menjadikan tiga gol dicipta pemain berusia 33 tahun itu dalam aksi suku akhir.
Dalam pada itu, Ronaldo juga menjadi pemain pertama dalam sejarah Liga Juara-Juara Eropah yang menjaringkan gol dalam 11 perlawanan berturut-turut.
Tidak cukup dengan rekod-rekod tersebut, beliau menjadi pemain ketiga yang membuat penampilan terbanyak dalam saingan UCL dengan mencatatkan 150 penampilan.
Xavi Hernandez ditempat kedua dengan 151 penampilan manakala Iker Cassilas mencatatkan penampilan terbanyak dengan 167 kali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.
Sentuhan dan pengaruh Cristiano Ronaldo terus ditagih Real Madrid dalam misi untuk mencatatkan kejuaraan hatrik selepas menjuarai kejohanan ini buat dua musim berturut-turut.