Keputusan seri tanpa jaringan menentang Sevilla di Allianz Arena sudah cukup buat Bayern Munich untuk meneruskan kemaraan ke saingan separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah apabila layak dengan aggregit 2-1.
Berkelebihan dua gol di tempat lawan, Bayern Munich yang dibimbing Juup Heynckes kelihatan begitu bernafsu untuk menambah defisit jaringan pada perlawanan yang berlangsung dihadapan hampir 70 ribu penyokong ini.
James Rodriguez menguji gawang Sevilla yang dikawal David Soria seawal minit ke-4 menerusi sepakan percuma. Namun, percubaan dilakukan sedikit tersasar dari pintu gol lawan.
David Soria bertindak cemerlang berselang tiga minit kemudian apabila beliau berjaya menafikan tandukan yang dilakukan Robert Lewandowski setelah penyerang antarabangsa Poland itu menerima hantaran lintang dari Joshua Kimmich.
Kedua-dua pasukan berusaha untuk menjelmakan serangan bagi mengancam ke kubu lawan masing-masing, tetapi tiada jaringan dapat dihasilkan akibat ketumpulan penyudah.
Memasuki babak kedua, Bayern Munich dan Sevilla masih berusaha keras untuk mendapatkan jaringan yang diharapkan.
Peluang keemasan buat juara Bundesliga itu hadir pada minit ke-49 setelah Lewandowski menerima umpanan dari Rafinha.
Bagaimanapun, tandukan yang dilakukan penyerang utama Bayern Munich itu hanya menemui sisi jaring Sevilla untuk menghampakan para penyokong tuan rumah.
Gerakan-gerakan yang cuba direncanakan selepas itu juga masih gagal diterjemahkan kepada jaringan.
Pemain sayap Sevilla, Joaquin Correa diperintahkan keluar padang pada masa kecederaan selepas beliau mengasari Javi Martinez.
Kedudukan tanpa jaringan tersebut kekal hingga tamat permainan untuk membawa Bayern Munich ke peringkat separuh akhir yang ke-11 buat kelab tersebut.
Dengan kejayaan tersebut telah lengkaplah empat pasukan yang layak ke separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah apabila Bayern Munich bakal bersaing dengan Real Madrid, AS Roma dan Liverpool bagi merebut piala berprestij di Eropah itu.