Setakat ini sekurang-kurangnya 18 daripada 20 ahli gabungan telah memberikan sokongan untuk mencalonkan setiausaha agung Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM), Datuk Hamidin Mohd Amin untuk jawatan Presiden FAM yang akan dipertandingkan pada Kongres FAM Julai depan.
Namun begitu, Pemangku Presiden FAM, Mohd Datuk Yusoff Mahadi mahu dua ahli gabungan yang belum menyatakan pendirian mengenai pencalonan Presiden FAM segera menyatakan pendirian bagi memastikan tiada spekulasi negatif.
Menurut laporan daripada Sinar Harian, tindakan segera ini juga perlu diambil bagi memastikan usaha-usaha perancangan yang direncanakan sebelum ini dapat dilaksanakan dengan teratur demi bola sepak negara.
“Walaupun tempoh pencalonan ditutup 11 Mei nanti, mereka (ahli gabungan) perlu menyatakan pendirian dengan segera untuk meneruskan kesinambungan perancangan sebelum ini.
“18 ahli gabungan telah bersetuju dan mencalonkan Hamidin sebagai Presiden, ini isyarat jelas dari ahli gabungan bukan sahaja Exco FAM yang telah menyatakan sokongan sebulat suara sebelum ini.
“Kami tidak mahu wujud spekulasi liar di kalangan peminat bola sepak apabila melihat situasi ini,” jelasnya.
Yusoff turut menjelaskan pendirian daripada 2 ahli gabungan itu akan memudahkan tugas untuk memastikan FAM sentiasa mendapat tempat.
“Sepatutnya dari kita duduk fikir siapa Presiden baharu seharusnya masa ini digunakan untuk memikirkan bagaimana cara untuk sama-sama memastikan FAM terus mendapat tempat, jadi sebab itu saya mahukan dua ahli gabungan yang belum menyatakan pendirian segera membuat keputusan,” ujarnya.
“Saya tidak tahu ada ahli gabungan yang tidak setuju. Kalau ada yang nak calonkan nama lain, saya fikir ia boleh menimbulkan keadaan yang kurang senang, macam mereka melawan arus.
“Tapi kalau mereka nak calonkan nama lain hanya kerana mahukan kelainan dan ada agenda lain, saya rasa ia tidak perlu, sebab majoriti sudah menyokong Hamidin,” tegasnya.
Bulan lalu, bekas Presiden FAM, Tunku Ismail Sultan Ibrahim mencadangkan agar Datuk Hamidin menggantikan tempatnya berdasarkan pengalaman luasnya dalam bidang pengurusan bola sepak.
Cadangan itu turut mendapat sokongan daripada Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, pemimpin persatuan sukan dan juga Exco FAM.