FELDA United ternyata bukan tandingan pasukan Liga Premier apabila mereka mudah menewaskan Terengganu FC II (TFCII) 2-0 dalam aksi 100Plus Liga Premier di Stadium Sultan Ismail Nasiruddin Shah, malam tadi.
Kemenangan itu bermakna mereka masih mengekalkan rekod tanpa kalah selepas 6 perlawanan Liga Premier musim ini.
Skuad kendalian B. Sathianathan ini tidak menunggu lama untuk menyerang tuan rumah apabila tandukan Gilberto Fortunato tepat ke dakapan penjaga gol Terengganu FC II (TFCII) pada minit keenam.
Pada minit ke-11, penyerang TFCII, Akanni Sunday Wasiu mempersiakan peluang dalam kotak penalti apabila rembatannya tidak menepati sasaran.
Lima minit kemudian, larian solo penyerang tuan rumah, Mohammad Rahmat Makasuf hampir meletakkan pasukannya di depan namun rembatannya berjaya ditepis keluar Mohd Farizal.
Tidak lama selepas itu, gawang tuan rumah terselamat lagi apabila bola rembatan Lain Ramsay terkena tiang sebelum tandukan susulan Fortunato melepasi palang.
Di hujung babak pertama, FELDA United memanfaatkan peluang dan kapten, Shukor Adan menjaringkan gol pelawat hasil sepakan sudut Wan Zack Haikal Wan Nor.
Bersambung babak kedua, dua percubaan berbahaya daripada FELDA United diselamatkan penjaga gol TFCII, Mohd Suhaimi Husin manakala Thiago Fernandes terlepas peluang mencetak nama sebagai penjaring apabila tandukannya singgah di palang gol.
Bagaimanapun, FELDA United menggandakan kelebihan dengan gol kedua menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Thiago pada minit ke-63.