Pengurus Liverpool, Jurgen Klopp melihat bahawa anak buahnya telah berjaya menumpaskan pasukan terbaik di dunia selepas menang keatas Manchester City awal pagi tadi di Stadium Etihad.
Kemenangan yang dicatatkan selepas berupaya mengekang asakan hebat dari tuan rumah itu berjaya membawa Liverpool ke pentas separuh akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Bercakap kepada wartawan, Klopp berkata: ”Sememangnya saya merasakan mereka (Manchester City) adalah pasukan yang terbaik di dunia ketika ini, tetapi saya tahu kami mampu menewaskan mereka. Kami memang layak ke separuh akhir.”
”Anda dapat bayangkan Pep (Guardiola) tidak gembira dengan jaringan yang dibatalkan tetapi kami berjaya menghasilkan lima jaringan menentang Manchester City dan hanya bolos satu gol sahaja.”
”Kami kini di separuh akhir dan pertamanya kami perlu meraikannya saat ini.”
”Sekarang kami berada disana (separuh akhir) bersama-sama, jadi ini adalah masa yang tenang dan saya sangat gembira dengan kejayaan ini.”
”Manchester City mengambil risiko dengan kesebelasan pemain yang diturunkan dan saya sentiasa tahu bahawa kami mempunyai peluang untuk mencipta satu atau dua jaringan,” jelas Jurgen Klopp lagi.
”Anak buah saya berjaya mendapatkan jalan penyelesaian dan kami mempunyai dua atau tiga peluang pada babak pertama. Yang terbaik adalah pada minit akhir separuh masa pertama.”
”Jadi, ianya mudah buat saya dan anak buah untuk melihat perkembangan permainan.”
Tidak mahu meninggi diri dengan kejayaan tersebut, Jurgen Klopp menolak tanggapan yang mengatakan skuad bimbingannya adalah barisan yang terbaik di Eropah.
”Saya tidak berminat untuk membandingkan pasukan kami. Barcelona, Bayern Munich, Real Madrid, mereka telah memenangi kesemuanya dalam tempoh 20 tahun.”
”Dalam masa yang sama kami tidak memenangi apa-apa buat pasukan.”
”Kami hanya boleh meningkat. Jika kami mempunyai hari yang baik, kami mampu untuk menewaskan mana-mana pasukan, ada juga hari kami melepaskan jaringan dengan mudah.”
”Kami masih dalam fasa pembangunan tetapi kami sudah merupakan pasukan yang baik.”