Analisis Taktikal Perlawanan Persahabatan: Malaysia 0-0 Bangladesh

Dollah Salleh mempunyai banyak kerja untuk disiapkan, jika persembahan perlawanan persahabatan menentang Bangladesh semalam dijadikan ukuran.

Menjelang perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 menentang UAE dan Arab Saudi, Dollah mengambil kesempatan untuk bereksperimen. Dengan formasi dan taktikal baru.

Malaysia bermain dengan back three

Malaysia turun dengan formasi back three buat pertama kali. Afif Amirudin, Amirizwan Taj dan Junior Eldstal digandingkan buat pertama kali.

Safiq Rahim diarahkan bermain di hadapan 3 pemain pertahanan tengah ini. Ini membolehkan Malaysia merancang serangan dari belakang. Melalui hantaran-hantaran pendek.

Safiq kerap turun ke bawah untuk mengutip bola daripada 3 pemain pertahanan tengah Malaysia. Dan jika beliau dikawal ketat pemain Bangladesh, Afif dan Junior akan membawa sendiri bola ke kawasan middle third.

Amirizwan pula kekal di belakang sebagai sweeper jika Bangladesh berjaya merampas bola ketika Afif dan Junior membawa bola.

Masalah separuh masa pertama

Bermain dengan 3 pertahanan tengah, Malaysia mempunyai 2 pilihan untuk menyerang:

1. S. Kunanlan dan Zubir Azmi bermain sebagai wing back. Wan Zack dan Joseph Kalang Tie sebagai pemain tengah menyerang (attacking midfielders).

2. Wan Zack dan Joseph Kalang Tie sebagai pemain sayap. S. Kunanlan dan Zubir Azmi sebagai inverted wing back.

Nota: Inverted wing back adalah wing back yang bermain seperti pemain tengah ketika pasukannya memegang bola. Apabila pasukannya hilang bola, mereka kembali bermain seperti wing back biasa. Biasanya diaplikasikan dalam formasi 3-3-1-3. Contoh: David Alaba, Mauricio Isla).

Tetapi Malaysia tidak menggunakan 2 pilihan itu. Terutamanya pada separuh masa pertama.

Apa yang berlaku dalam separuh masa pertama semalam adalah; Kunanlan dan Zubir bermain sebagai wing back. Dan pada masa yang sama, Wan Zack dan Joseph bermain sebagai pemain sayap.

Akibatnya, jentera tengah Malaysia hanya tinggal Safiq dan Amri. Bangladesh pula meletakkan 3 pemain tengah. Situasi 3v2 jelas memihak jentera tengah Bangladesh. Mereka mudah mendominasi separuh masa pertama.

Tidak biasa dengan taktikal baru?

Dengan Joseph dan Wan Zack masing-masing bermain sebagai pemain sayap, Safiq tidak mempunyai banyak pilihan untuk membuat hantaran.

Dengan Amri Yahyah yang jarang turun membantu Safiq di tengah (mungkin keliru dengan tugas baru dalam formasi baru), Safiq tiada pilihan lain selain membuat hantaran diagonal panjang kepada Wan Zack dan Joseph yang menanti di sayap kanan dan kiri.

Disebabkan itu sahaja pilihan hantaran Safiq, hantaran diagonal beliau mudah dibaca pertahanan Bangladesh.

Apabila kehilangan bola, Norfarhan dan Amri pula tidak aktif memberi tekanan kepada pemain Bangladesh. Terutamanya pemain no.6 Bangladesh yang menjadi titik kitar semula penguasaan bola (possession recycle point) pasukannya.

Pertukaran separuh masa kedua

Pada separuh masa kedua, Dollah membuat 3 pertukaran yang mengubah perlawanan.

Amri dan Safiq dikeluarkan. Mereka digantikan oleh Badrol Bakhtiar dan Nasir Basharudin. Hazwan Bakri pula menggantikan Joseph Kalang Tie.

Badrol menggalas tugas Safiq. Bermain di hadapan 3 pemain pertahanan tengah dan merancang serangan Malaysia.

Nasir pula menggalas tugas Amri. Tetapi berbeza daripada Amri, Nasir lebih rajin membantu Badrol di tengah.

Wan Zack dan Hazwan lebih ke tengah

Pada separuh masa kedua juga, Wan Zack dan Hazwan lebih memahami tugas mereka dalam formasi baru ini.

Jika pada separuh masa pertama, Malaysia bermain dengan 2 pemain sayap dan 2 wing backs. Pada separuh masa kedua, hanya wing backs yang beroperasi di bahagian sayap.

Wan Zack dan Hazwan beroperasi di kawasan lebih tengah, sebagai rangkaian 3 penyerang tengah bersama S. Kumahraan yang menggantikan Norfarhan.

Perubahan ini mungkin kecil. Tetapi impaknya besar.

Dengan Hazwan, Nasir dan Wan Zack di tengah, Badrol mempunyai banyak pilihan hantaran di tengah. 3 pemain tengah Bangladesh bergelut untuk menangani penguasaan jentera tengah Malaysia.

Badrol juga boleh membuat hantaran diagonal ke Kunanlan dan Zubir (yang kemudiannya digantikan Nazirul Naim) di bahagian sayap.

Malaysia mempunyai peluang demi peluang untuk menjaringkan gol. Hazwan sendiri mempunyai 4 peluang. Nasir paling hampir untuk menjaringkan gol. Tetapi dikecewakan oleh tindakan penyelamat penjaga gol Bangladesh.

Selepas Junior dikeluarkan untuk memasukkan Syamim Yahya, Malaysia kembali ke formasi lama – 4-4-1-1. Dan malangnya tabiat lama juga – gemar merancang serangan melalui hantaran panjang yang tiada hala tujuan.

Kesimpulan

Seri 0-0 dengan negara yang bola sepak bukanlah sukan nombor satu, bukanlah keputusan yang boleh memberi keyakinan menjelang perlawanan menentang UAE dan Arab Saudi.

Tetapi persembahan separuh masa kedua oleh Badrol Bakhtiar sudah sepatutnya cukup untuk menjustifikasi pemilihan beliau sebagai pemain kesebelasan utama. Berbanding Amri Yahyah yang masih bergelut untuk menahan bola dengan betul pada separuh masa pertama.

Sumber gambar: asiana.my

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN