Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde tetap berhati-hati dengan ancaman yang bakal dijelmakan AS Roma pada perlawanan suku akhir kedua Liga Juara-Juara Eropah awal pagi esok.
Dalam pada itu, Valverde juga turut mahukan anak buahnya berwaspada dengan keupayaan penyerang dari Bosnia, Edin Dzeko walaupun kelab bimbingannya sudah mempunyai kelebihan tiga gol.
Pada aksi pertama di Nou Camp tempohari, Barcelona berjaya menumpaskan AS Roma dengan keputusan 4-1 hasil bantuan dua jaringan sendiri pemain lawan serta dua lagi gol disumbangkan oleh Gerard Pique dan Luis Suarez.
Bagi Valverde, pertembungan kedua di Stadio Olimpico sudah pastinya lebih sukar untuk dihadapi anak buahnya.
Bercakap dalam sidang media pra-perlawanan, Valverde berkata: ”Mereka (AS Roma) akan beraksi dengan lebih intensiti pada perlawanan esok. Mereka akan mencari gol pertama dan saya membayangkan itu merupakan sasaran mereka, jadi kami perlu lebih berhati-hati.”
”Saya selalu berfikir kami boleh tewas, dalam masa yang sama saya juga berfikir kami boleh menang. Kami tahu bahawa kami mempunyai banyak kelebihan dari segi jaringan gol. Mereka mempunyai pemain yang baik dan kami perlu bersedia untuk itu.”
”Kami tahu bahawa Leo (Lionel Messi) sentiasa boleh untuk berkuasa dalam perlawanan. Itu adalah sebab kami juga perlu berhati-hati, sebagai contoh Dzeko.”
”Kesilapan utama adalah sekiranya kami telah memikirkan bahawa kami sudah benar-benar layak ke separuh akhir.”
”Kami pastinya tidak terlalu yakin. Spekulasi mengenai keputusan itu membahayakan.”
Musim lalu, Barcelona berjaya mencipta kebangkitan luar biasa apabila mereka tewas 4-0 di Parc Des Princes dalam saingan 16 terbaik Liga Juara-Juara Eropah, namun mereka terlalu unggul di Nou Camp untuk menang 6-1 sekaligus layak ke suku akhir.