Kejayaan Selangor menewaskan Kuala Lumpur 3-0 dalam aksi suku akhir pertama Shopee Piala FA 2018 ternyata melegakan ketua jurulatih Selangor yang baru dilantik bagi menggantikan P. Maniam iaitu Muhammad Nazliazmi Mohamad Nasir.
Namun begitu, bercakap kepada Sinar Harian, beliau tidak mahu anak buahnya terbuai-buai dengan kemenangan itu kerana masih ada baki 90 minit lagi pada minggu hadapan.
“Pertama sekali, syukur alhamdulillah kerana segala apa yang kita rancang dipermudahkan. Pujian buat para pemain yang telah bermain sehabis baik mengikut taktikal yang dirancang.
“Jika kita lihat, tiga gol yang terhasil juga bukannya mudah kerana saingan sengit telah diberikan pasukan Kuala Lumpur biarpun mereka beraksi 10 pemain.
“Bagi saya, dalam bola sepak apa pun boleh berlaku. Walaupun kita menang 3-0 pada aksi pertama ini, tak bermakna kita dapat melakukannya pada aksi kedua nanti.
“Sudah tentu Kuala Lumpur akan hadir dengan saingan yang lebih sengit tetapi saya yakin dan percaya pemain Selangor mampu terus kekal pada tahap terbaik bagi memberikan persembahan yang diharapkan.
“Masih berbaki 90 minit dan saya percaya Kuala Lumpur akan memberikan saingan sengit pada aksi kedua nanti. Jadi kami perlu bersedia,” jelasnya.
Selangor memperoleh dua jaringan awal menerusi Willian Pacheco dan Rufino Segovia pada minit ke-20 dan 24 sebelum Kuala Lumpur terpaksa beraksi 10 pemain selepas Guilherme De Paula dilayangkan kad merah kerana menumbuk Abdul Halim Zainal pada minit ke-26.
Bekalan selesa diperoleh Selangor selepas Rufino menjaringkan gol kedua peribadi dan gol ketiga pelawat pada masa kecederaan untuk keputusan 3-0 menjelang aksi suku akhir kedua, juga di Stadium Bola Sepak Kuala Lumpur, Cheras dengan Selangor pula bertindak sebagai tuan rumah pada 21 April depan.
Mengulas aksi yang dipamerkan anak didiknya, Nazliazmi menyifatkan pemainnya berjaya memastikan perancangan pasukan menjadi kenyataan.
“Biarpun kita telah mendahului 2-0 dan lawan pula terpaksa beraksi 10 pemain, Kuala Lumpur tetap memberikan tekanan hebat sehingga barisan pertahanan kita agak goyang juga pada beberapa ketika sebelum akhirnya berjaya menambah gol ketiga pada minit terakhir.
“Apa pun saya puji karakter yang telah ditunjukkan para pemain dan itu membuatkan saya bangga dengan mereka.
“Selebihnya, ucapan terima kasih juga buat para penyokong Selangor yang mana kehadiran mereka ini menjadi salah satu faktor membantu para pemain untuk sentiasa fokus dan berjuang sehabis baik sehingga wisel penamat,” katanya kepada sidang media selepas perlawanan.