Menang Dalam Pertembungan Derbi, Manchester United Tangguh Pesta Kejuaraan City

Manchester United

Manchester United berjaya menghalang pesta kejuaraan musuh setempat, Manchester City setelah bangkit dari ketinggalan dua jaringan untuk menang 3-2 di Stadium Etihad awal pagi tadi.

City hanya memerlukan satu kemenangan sahaja lagi untuk menjadikan mereka sebagai juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Semuanya tampak di landasan yang tepat buat skuad bimbingan Pep Guardiola setelah Vincent Kompany membuka tirai jaringan pada minit ke-25.

Jaringan tersebut berpunca daripada sepakan sudut yang dilakukan Leroy Sane dan terus ditanduk masuk oleh Kompany untuk menceriakan penyokong tuan rumah.

Manchester City menambah jaringan kedua berselang lima minit kemudian dan kini giliran Ilkay Gundogan meletakkan nama selaku penjaring.

Gerakan yang dimulakan Raheem Sterling itu kemudiannya disempurnakan dengan tenang oleh Gundogan untuk terus memberikan tekanan buat United.

Sterling memperoleh dua peluang keemasan pada minit ke-34 dan 37 untuk menambah jaringan hasil lorongan cantik dari David Silva.

Namun, penyudah kurang berkesan Sterling ternyata menghampakan.

MANCHESTER, ENGLAND – APRIL 07: Paul Pogba of Manchester United scores his sides second goal during the Premier League match between Manchester City and Manchester United at Etihad Stadium on April 7, 2018 in Manchester, England. (Photo by Michael Regan/Getty Images)

Ketinggalan dua jaringan tidak mematahkan semangat pemain United untuk kembali bersaing pada babak kedua.

Usaha mereka berhasil pada minit ke-53 selepas Paul Pogba menyempurnakan umpanan dari Ander Hererra untuk mengurangkan defisit gol.

Bagaikan mendapat tonik berguna daripada gol pertama tersebut, Pogba sekali lagi meledakkan jaringan kedua buat United dua minit kemudian.

Jaringan kedua peribadi pemain antarabangsa Perancis itu terhasil selepas beliau menerima hantaran lambung cantik dari Alexis Sanchez, lalu melonjak tinggi untuk menanduk masuk bola bagi menewaskan Ederson Moraes di gawang tuan rumah.

Pemain pertahanan, Chris Smalling muncul wira buat skuad bimbingan Jose Mourinho itu dengan jaringan kemenangan yang dihasilkan pada minit ke-69.

Menerusi satu sepakan percuma diambil Alexis Sanchez dari sebelah kanan pintu gol Manchester City yang terus mencari Smalling, beliau yang tidak dikawal pertahanan City terus menolak masuk bola untuk jaringan ketiga.

Gol tersebut sudah cukup buat United untuk menghalang ‘parti’ keraian yang ditunggu-tunggu penyokong serta pemain Manchester City pada perlawanan ini.

Dengan keputusan yang dicatatkan di Stadium Etihad itu, Pep Guardiola dan anak buahnya terpaksa menunggu aksi seterusnya menentang Tottenham Hotspur pada 15 April nanti di Wembley dalam usaha untuk mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris yang tertangguh itu.

 

 

 

Sejak 2015, kami bersungguh menyediakan bacaan digital secara percuma di laman ini dan akan terus mengadakannya selaras dengan misi kami memberi berita terbaik untuk bola sepak tanah air khususnya.

Namun menyediakan bacaan secara percuma memerlukan perbelanjaan tinggi yang berterusan dan kami sangat mengalu-alukan anda untuk terus menyokong perjuangan kami.

Tidak seperti yang lain, Semuanya BOLA bukan dimiliki oleh syarikat besar untuk menampung kos operasi kami untuk jangka masa panjang.

Kini, kami amat memerlukan sokongan anda walaupun kami faham tidak semua orang mampu untuk membayar kandungan. Tetapi dengan sokongan anda, sedikit sebanyak dapat membantu perbelanjaan kami dalam meluaskan lagi bacaan percuma yang bermanfaat untuk masa yang mendatang. Meskipun anda mungkin tidak mampu, kami tetap mengalu-alukan anda sebagai pembaca.

Sokong Semuanya BOLA daripada serendah RM2.00 dan ia hanya mengambil masa seminit sahaja. Jika anda berkemampuan lebih, mohon pertimbangkan untuk menyokong kami dengan jumlah yang sudi diberikan. Terima kasih.

Moving forward as one.

Klik pautan di bawah untuk mulakan sumbangan. Nama penyumbang akan dipaparkan dalam 1 halaman khas untuk anda yang menyokong kami.

// KLIK UNTUK SUMBANGAN