Selepas kecundang 3-0 menentang Liverpool pada aksi suku akhir pertama saingan Liga Juara-Juara Eropah, pengurus Manchester City, Pep Guardiola mengakui bahawa pasukan bimbingannya masih belum bersedia untuk bergelar juara kejohanan berprestij itu.
Sebelum ini, Manchester City dilihat sebagai antara pencabar bagi merebut piala tersebut, namun kekalahan mengejut itu memberikan tugas sukar buat para pemain dalam misi memadam kelebihan tiga gol dimiliki The Reds.
Pada peringkat kumpulan, City diletakkan dalam satu kumpulan bersama-sama SSC Napoli, Feyenoord dan Shakhtar Donetsk.
Manchester City menang lima daripada enam perlawanan peringkat kumpulan untuk gah ditangga teratas dengan mengumpul 15 mata.
Laluan tidak begitu sukar juga diterima pada pusingan 16 terbaik apabila berjaya melepasi cabaran juara Switzerland, FC Basel.
Namun begitu mereka kecundang 2-1 pada aksi kedua di laman sendiri.
Debaran terus dirasai di kem Manchester City dalam saingan Eropah selepas itu apabila Liverpool jelas memberikan kesukaran buat para pemain The Cityzen di Anfield.
”Dari apa yang dilihat pada perlawanan di Anfield, saya merasakan kami melangkah ke hadapan dari segi personaliti untuk menghadapi perlawanan ini.”
”Musim lalu saya merasakan yang kami tidak bersedia, sekarang saya juga rasa kami tidak bersedia tetapi kami melangkah ke hadapan.”
”Kami menghadapi peringkat kumpulan dan perlawanan pertama di Basel yang hebat.”
”Kami masih dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah. Selasa nanti (bertemu Liverpool), anda akan dapat melihat satu permainan yang hebat.”