Secara matematiknya hanya satu kemenangan diperlukan Manchester City bagi mengesahkan kejuaraan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.
Lebih menarik, lawan yang bakal ditentang oleh skuad bimbingan Pep Guardiola itu adalah musuh setempat, Manchester United di Stadium Etihad pada tengah malam nanti (waktu Malaysia).
Ironinya, sekiranya kemenangan berjaya dicatatkan Manchester City pada perlawanan ini, derbi Manchester akan lebih menarik apabila pemain serta penyokong The Cityzen sudah pasti akan meraikan kejayaan menjuarai liga paling popular di dunia itu.
Bagi pengendali Manchester United, Jose Mourinho, beliau percaya kejayaan Manchester City menjuarai liga ketika bertemu United adalah tidak menjadi masalah buat kelabnya.
Keadaan sedemikian telah dinikmati Jose Mourinho ketika beliau membimbing Chelsea pada musim 2005/06.
”Saya memenangi kejuaraan di Chelsea ketika menang keatas Manchester United,” Mourinho menjelaskan kepada wartawan pada Jumaat.
”Kami menewaskan United 3-0 dan menjuarai liga di Stamford Bridge pada musim 2005/06. Ianya bukanlah pengakhiran buat dunia. Ini cuma bola sepak.”
”Hanya perkara yang saya bola katakan adalah kami mahukan kemenangan. Kami tidak mahu memberikan kemenangan buat mereka. Kami mahu bersaing dan memenangi perlawanan sekiranya boleh.”
Manchester United juga masih mengintai peluang untuk menamatkan saingan Liga Perdana Inggeris di tempat kedua selepas pengakhiran yang kurang memuaskan pada musim lalu apabila The Red Devils hanya menduduki tangga ke-6 liga.