Bekas pemain tengah Liverpool, Xabi Alonso memberikan amaran kepada skuad bimbingan Jurgen Klopp itu bahawa mereka masih belum selamat walaupun mendahului Manchester City dengan kelebihan tiga gol dalam saingan suku akhir Liga Juara-Juara Eropah.
Liverpool ternyata sukar digugat pendahulu Liga Perdana Inggeris tersebut pada perlawanan pertama apabila jaringan dari Mohamed Salah, Alex Oxlade-Chamberlain dan Sadio Mane menjadi bekalan buat The Reds menjelang pertemuan kedua di Stadium Etihad nanti.
Sebelum itu, Liverpool turut berjaya meranapkan rekod tanpa kalah Manchester City dalam saingan liga dengan kemenangan 4-3 pada bulan Januari lalu.
”Mereka telah menunjukkan bahawa mereka mampu untuk menewaskan mana-mana pasukan. Suasana di Anfield sungguh mendebarkan,” jelas Alonso kepada Omnisport.
”Aksi pada separuh masa pertama sukar untuk dipercayai, untuk menjaringkan tiga gol menentang City. Cara mereka bermain sangat menggembirakan, tetapi ianya masih belum selesai.
”Masih terdapat 90 minit untuk bermain di stadium mereka dan saya pasti mereka akan bertambah baik dan ianya tidak mudah buat Liverpool.”
Dalam pada itu, Alonso yang sudah bersara sebagai pemain profesional pada penghujung musim lalu menjelaskan bahawa beliau sudah bersedia untuk memulakan kehidupan baru sebagai jurulatih.
Pemain tengah yang turut membantu Liverpool menjuarai Liga Juara-Juara Eropah musim 2004/05 itu juga tidak menolak kemungkinan sekiranya beliau kembali ke Anfield sebagai jurulatih.
”Masa akan menentukan, masih terlalu awal ketika ini,” tambah Xabi Alonso lagi.
”Ianya adalah satu proses yang panjang dan saya tidak mahu terburu-buru tetapi dengan hubungan, komitmen dan semangat saya terhadap Liverpool adalah jelas.”