Saingan Shopee Piala FA 2018 kini memasuki peringkat suku akhir. Pahang menanti kunjungan JDT untuk perlawanan pertama.
Tanpa Forkey Doe, Dollah Salleh mempertaruhkan Patrick Cruz di barisan hadapan di dalam formasi 4-4-2.
Manakala Raul Longhi yang turut tanpa Luciano Figueroa yang bakal digantikan dan Nicolas Fernandez di bangku simpanan memperagakan formasi 4-2-3-1.
Separuh masa pertama
Pelawanan bermula dengan rancak dengan kedua-dua pasukan pantas melakukan asakan silih berganti ke kubu lawan.
Dua sepakan penjuru di dalam tempoh lima minit pertama perlawanan menampakkan kesungguhan JDT untuk memburu gol awal.
Minit ke-10 perlawanan, gerakan set pieces JDT tidak menjadi, menyaksikan rembatan lemah Marcos Antonio sekadar sipi di sebelah kanan gawang Pahang.
JDT mulai mengawal rentak perlawanan selepas itu dengan gandingan Haris Harun, Natxo Inxa dan Safiq Rahim mendominasi bahagian tengah.
Safuwan Baharudin menjadi pemain pertama dilayangkan kad kuning di dalam perlawanan ini selepas dipersalahkan pengadil menjatuhkan Hazwan Bakri pada minit ke-21 perlawanan.
Minit ke-40 perlawanan, sepakan percuma Safiq Rahimdari sebelah kanan luar kotak penalti hampir menghukum Pahang, namun percubaan kapten JDT itu terkena penjuru sebelah kiri gawang sebelum terkeluar.
Helmi Eliza bertindak cemerlang apabila menepis keluar tandukan Fadhli Shas selepas sepakan penjuru pada minit ke-42 perlawanan.
Babak pertama perlawanan menyaksikan penguasaan JDT, namun berakhir tanpa jaringan.
Separuh masa kedua
Babak kedua perlawnan bermula, bahagian tengah JDT meneruskan penguasaan bola di dalam perlawanan ini.
Namun peluang terbuka untuk berada di hadapan adalah milik Pahang apabila Patrick Cruz berjaya melorongkan bola kepada Chan V.
Bagaimanapun rembatan penyerang import dari kemboja itu leret terkena tiang sebelum terkeluar, tatkala Farizal Marlias hanya mampu melihat.
Menyedari memerlukan kelebihan gol sebelum bertandang ke Larkin, skuad Tok Gajah memperkemaskan barisan serangan untuk melakukan tekanan berterusan ke arah gawang JDT.
15 minit terakhir perlawanan, kedua-dua pasukan semakin agresif untuk mendapatkan kelebihan.
Peluang melalui sepakan percuma oleh Safiq Rahim pada minit ke-86 perlawanan turut gagal disempurnakan apabila dihalang oleh benteng pertahanan sebelum bola terkeluar.
Lima minit masa kecederaan yang diberikan, kedua-dua pasukan terus buntu untuk menemui penyudah walaupun saling berbalas serangan.
Pengadil perlawanan, Zulkarnain Zakaria akhirnya meniupkan wisel penamat untuk perlawanan berakhir tanpa jaringan, dan perhitungan akhir akan ditentukan di Larkin.
Barisan pemain
Pahang: Helmi Eliza(PG), Matthew Davies (K), Patric Cruz, Faisal Halim (58′ Wan Zaharulnizam), Chan V. (82′ Kogisleswaran), Faisal Rosli, Afif Amiruddin, Azam Azih, Safuwan Baharudin, Muslim Ahmad, M. Sumareh
JDT: Farizal Marlias (PG), Marcos Antonio, Safiq Rahim (K), Hazwan Bakri, Gabriel Cabrera, Harris Harun, Azrif Nasrulhaq, Corbin Ong, Fadhli Shas, Safawi Rasid (85′ Nicolas Fernandez), Natxo Insa