Semalam, AC Milan telah mengumumkan perlantikan Gennaro Gattuso sebagai pengurus tetap.
Keputusan itu bermakna, pemenang Piala Dunia 2006 bersama Itali itu akan dikekalkan di San Siro sehingga 2021.
Berikut adalah 5 sebab mengapa kami berpendapat Gennaro Gattuso sememangnya layak untuk diberikan peranan sebagai pengurus AC Milan secara tetap.
#Rino2021 ❤️⚫️
Comunicato ufficiale: Rino Gattuso ?? https://t.co/I1NPavoaGn
Official statement: Rino Gattuso ?? https://t.co/ozwzV6H7o1 pic.twitter.com/M4CS6inWkA— AC Milan (@acmilan) April 5, 2018
1. Berjiwa Milanisti
13 tahun beraksi bergelar Rossoneri, siapakah yang boleh mempersoalkan Gattuso adalah seorang Milanist sejati.
Tampil di dalam 468 perlawanan di dalam jersi merah hitam kebanggan Milan di dalam semua pertandingan, pemain tengah ini turut menjaringkan 11 gol sepanjang karier di peringkat kelab.
Anda tahu corak permainannya. Keras dan tidak memberi muka kepada lawan, perwatakan bersungguh Gattuso di dalam padang yang sentiasa menunjukkan raut wajah serius adalah antara perkara mengapa Gattuso dianggap wira di San Siro.
10 trofi kejuaraan bersama AC Milan termasuk dua gelaran juara Serie A dan 2 kejuaraan UEFA Champions League (UCL), Gattuso tahu resipi kejayaan untuk seorang bergelar Milanist sejati.
2. Hubungan luar biasa dengan pemain
Ketika dilantik sebagai pengendali interim menggantikan Vincenzo Montella pada November lalu, ramai yang agak skeptikal akan kebolehan beliau.
Ini adalah kerana Gattuso tidak pernah mempunyai pengalaman melatih pasukan utama di Serie A. Kegagalan bersama Palermo dan pasukan bermasalah, OFI Crete dan Pisa juga tidak membantu.
Ingatkan anda akan gelagat Gattuso yang membenarkan pemainnya menampar pipi beliau selepas kemenangan 2-1 ke atas Lazio pada Januari lalu?
“Saya cuma mahukan pemain-pemain saya berasa gembira. Terutamanya pemain yang mempunyai perasaan marah kerana diletakkan di bangku simpanan.”
“Sekarang mereka mempunyai peluang untuk menampar saya,” ujar Gattuso menjelaskan tindakan beliau itu.
Siapakah jurulatih yang membenarkan pemain melakukan tamparan terhadap diri sendiri selain Gattuso? Ini kerana beliau mempunyai hubungan yang cukup baik dengan pemain-pemainnya.
3. Menyelamatkan kempen AC Milan
Milan yang telah berbelanja sehingga €200 juta untuk pemain baru pada jendela perpindahan musim panas yang lalu ketika di bawah kendalian Vincenzo Montellah melalui permulaan musim serba tidak menjadi.
Pemain tiada keyakinan, apatah lagi penyokong. Secara perlahan-lahan, Gattuso mengubah mentaliti pemain di dalam skuad Rossoneri ini, dan keputusan perlawanan mulai mendatangkan hasil.
Kehadiran Gattuso pada mulanya tidaklah begitu memberikan kesan yang mendalam buat AC Milan.
Tetapi sejak memasuki tahun 2018, beliau seolah-oleh memberikan tonik yang berguna buat skuad bimbingannya sehingga berjaya melayakkan diri ke perlawanan akhir Coppa Italia musim ini.
Menanti AC Milan di pentas perlawanan akhir ialah Juventus, dan Milan semakin hampir pasti untuk slot ke eropah di saingan UEFA Europa League pada musim hadapan.
4. Potensi masa hadapan
Pada usia 40 tahun, Gattuso boleh dianggap sebagai seorang pengurus muda.
Tidak ramai pengurus, apatah lagi bekas pemain yang mampu membimbing kelab seperti AC Milan di Itali pada usia seperti Gattuso.
Rekod pengurusan Gattuso ketika membantu Pisa melayakkan diri ke Serie B sebenarnya agak cemerlang.
Ketika bersama Pisa, pasukan beliau hanya melepaskan 15 bolos daripada 26 perlawanan. Ratio 0.6 bolos per perlawanan adalah yang terbaik pada ketika itu di Serie B.
Jelas sekali Gattuso adalah seorang pengurus yang mengetahui apa yang perlu dilakukan untuk memastikan pasukan kekal kompetitif!
5. Ganjaran kerja keras Gattuso
Mana-mana pengurus yang mengambil alih sesebuah pasukan, pasti akan membentuk pasukan tersebut mengikut acuan taktikal masing-masing.
Cara termudah berbuat demikian ialah dengan mendapatkan pemain dengan profail yang diingini melalui jendela perpindahan.
Walaupun boleh meminta untuk berbuat demikian pada jendela perpindahan Januari yang lalu, Gattuso tidak berbuat demikian. Sebaliknya beliau memberikan sepenuh kepercayaan kepada pemain sediaada di dalam pasukan.
Antara pemain yang mulai menyerlah di bawah kendalian Gattuso ialah pemain muda, Patrick Cutrone dan mengembalikan keyakinan diri kepada pemain-pemain lain.
Dari segi taktikal, Gattuso mengembalikan 4 pemain pertahanan, berbanding Montella yang gemar menggunakan sistem bek bertiga.
Dengan formasi 4-3-3, perubahan yang dilakukan oleh Gattuso mulai mendatangkan hasil, dan memenangi 61% perlawanan dalam semua pertandingan yang dikendalikan sejak mengambil alih pada November lalu.
Rumusan
Berdasarkan 5 sebab di atas, ia adalah keputusan yang sangat wajar untuk AC Milan melantik Gattuso sebagai pengendali tetap kelab berkenaan.
Milan masih bukan pasukan yang sempurna. Masih banyak perkara yang perlu dilakukan oleh Gattuso untuk mengembalikan zaman kegemilangan Milan seperti ketika era beliau sebagai pemain.
Namun demikian, Gattuso telah melaksanakan langkah pertama proses pemulihan Milan dengan cemerlang. Seterusnya, Gattuso harus diberi lebih banyak masa untuk memperkasakan AC Milan.