Kehebatan penyerang Kuala Lumpur, Zaquan Adha Radzak ketika mewakili Malaysia menjaringkan 4 gol pada aksi persahabatan antarabangsa ke atas Bhutan Ahad lalu memberi amaran awal kepada Selangor supaya lebih berwaspada terhadap ancaman rangkaian serangan mereka Sabtu ini.
Menurut penjaga gol Selangor, Norazlan Razali berkata kepada Berita Harian, aksi Zaquan itu mampu memberi masalah kepada benteng pertahanan Selangor jika mereka cuai dan hilang fokus.
“Kami mengalahkan mereka 2-0 pada perlawanan sulung dalam Liga Super dua bulan lalu tapi rekod itu tidak relevan lagi dengan situasi sekarang. Kini, masing-masing perlu membuka ‘buku baru’.
“Kuala Lumpur sudah jauh meningkat selepas kekalahan kepada kami apabila mengalahkan pasukan hebat seperti JDT (Johor Darul Ta’zim) dan Kedah. Itu sudah cukup membuktikan kemampuan mereka.
“Sekarang, mereka mendapat suntikan semangat tambahan ekoran kecemerlangan Zaquan. Ia pasti memberi masalah berganda kepada kami berbanding perlawanan lalu,” kata Norazlan.
Begitupun, penjaga gol berpengalaman itu berkata, dia sudah bersedia untuk mengawal benteng terakhir daripada dicerobohi oleh Zaquan serta rakannya.
Malah Norazlan pantas mengingatkan lawan bahawa semangat Red Giants juga kembali memuncak selepas menewaskan Terengganu 3-1 pada pusingan ketiga Piala FA untuk menempah slot suku akhir.
“Kami mampu mengalahkan Terengganu kerana setiap pemain memberi komitmen 100 peratus serta menunjukkan semangat sepasukan tinggi. Kemenangan itu meningkatkan kembali keyakinan kami.
“Cuma, apa yang perlu dilakukan sekarang adalah mengekalkan semangat sama ketika berdepan Kuala Lumpur. Semuanya bergantung kepada kemahuan pemain, kalau kami ada mentaliti mahu menang, bukan mustahil kami mampu melangkah lebih jauh dalam pertandingan ini,” ujar Norazlan.