Status PKNP FC sebagai pasukan Liga Super tidak begitu mengusarkan pendahulu Liga Premier, FELDA United yang tekad mahu menyingkirkan pasukan dari Perak itu apabila mereka dijadualkan bertemu di peringkat suku akhir Piala FA di Stadium Baru Kawan esok.
Kapten FELDA United, Shukor Adan berkata kepada Berita Harian, beliau dan rakan sepasukannya tekad tidak akan benarkan PKNP FC mencuri satu gol sebagai bekalan ke Jengka nanti.
“Fokus utama kami di tempat lawan adalah tidak membenarkan PKNP menjaringkan gol sebagai bekalan pada suku akhir kedua di Jengka nanti.
“Ini kerana PKNP bukannya pasukan yang mudah ditewaskan kerana mereka sudah pasti semakin matang apabila beraksi dalam Liga Super musim ini.
“Berada pada tahap ini memerlukan komitmen tinggi dan kami perlu bekerja keras untuk memastikan kemenangan pada suku akhir pertama,” jelas pertahanan berpengalaman itu.
Shukor berkata, kekuatan utama The Fighters adalah membentuk persefahaman mantap dan lebih padu di bahagian serangan.
“Beraksi di laman sendiri memberi kelebihan kepada PKNP dan tidak boleh pulang dengan kekalahan jika mahu meneruskan misi ke separuh akhir.
“Musim ini, kami tidak boleh lagi terlepas peluang dan sekadar berada di suku akhir kerana kami mampu meraih pencapaian lebih bagus,” katanya.
Sementara itu, pemain sayap FELDA united, Wan Zack Haikal Wan Noor menganggap PKNP FC bukan pasukan yang mudah dijinakkan apabila kedua-dua pasukan bertemu pada suku akhir pertama Piala FA, Sabtu ini.
Wan Zack yang beraksi cemerlang ketika membantu Harimau Malaya membelasah Bhutan pada aksi persahabatan 1 April lalu, tidak mahu terlalu yakin bertemu kelab dari Perak itu.
“Apa yang perlu kami lakukan adalah kekal konsisten kerana PKNP bukannya pasukan yang dianggap kurang berpengalaman kerana mereka mempunyai pemain yang memiliki keyakinan tinggi.
“Bagi saya, kami perlu bekerja keras untuk memberi tekanan dan perlu fokus sepanjang 90 minit di tempat lawan untuk mencari bekalan.
“Soal kelebihan dilihat kepada FELDA United, ia tidak boleh dijadikan ukuran kerana PKNP beraksi dalam saingan Liga Super musim ini dan sudah pasti pemainnya semakin matang,” katanya.