Kegagalan pengurusan Kuantan FA menyelesaikan masalah tunggakan gaji memaksa pemain dan barisan jurulatih pasukan itu angkat kaki ke pasukan lain kerana sudah hilang sabar.
Menurut laporan daripada akhbar berita harian, bukan hanya gaji pemain dan pegawai tidak dibayar bermula Januari lalu hingga kini, malah elaun yang sepatutnya diterima pemain Disember lalu juga tidak dibayar hingga kini.
Lebih menyedihkan pemain menyatakan pengurusan sudah berjanji lebih tujuh kali untuk menyelesaikan masalah tunggakan gaji, namun ia hanya tinggal janji.
“Saya pun dah buat keputusan, di mana pasukan ini hanya akan bertahan hingga hari Sabtu ini saja dan lepas itu kita kena berpisah.
“Kami terpaksa angkat kaki sebab tak ada jalan penyelesaian lagi. Saya tengok setakat ini pun pihak pengurusan langsung tidak ambil berat dan peduli, sama ada makan atau tak pemain-pemain ini.
“Kesian kepada mereka kerana dah nak masuk empat bulan tak dapat gaji. Lagipun sudah ada enam atau tujuh pemain sedia diambil pasukan lain dalam saingan Liga FAM (Persatuan Bolasepak Malaysia),” katanya pengendali Kuantan FA, Ismail Zakaria semalam.
Difahamkan beberapa pemain Marcerra Kuantan FA terpaksa meminjam duit rakan dari pasukan lain selepas majikan mereka gagal melunaskan gaji tertunggak selama tiga bulan.
Aksi menentang Pulau Pinang dalam saingan Liga Premier selepas ini mungkin merupakan aksi terakhir mereka.
“Kami saja memilih Sabtu ini yang kebetulan jatuh pada tarikh 7 April kerana setiap pasukan dalam liga tempatan disyaratkan untuk membayar gaji pemain sebelum atau pada setiap tujuh haribulan.
“Jika ada gaji atau tidak pada tarikh itu, kami tetap meninggalkan pasukan dan akan mengadakan majlis perpisahan pada Ahad ini. Saya akan jemput PFAM (Persatuan Pemain Bolasepak Profesional Malaysia) dan peguam sekali dalam majlis itu,” katanya yang turut menyalahkan FAM kerana gagal menangani isu ini dari awal.
Sekiranya sah kelab berkenaan menarik diri daripada bertanding, ianya pasti mengundang masalah besar kepada pengendali liga tempatan iaitu Liga Bolasepak Malaysia (MFL) yang perlu merombak semula jadual selain adakah keputusan aksi Marcerra Kuantan FA sebelum ini tetap diambil kira oleh penganjur.