Perancang kreatif Arsenal, Mesut Ozil mempamerkan aksi bertenaga ketika perlawanan bertemu CSKA Moscow dengan menghasilkan dua bantuan jaringan serta menjadi punca kepada sepakan penalti yang diberikan kepada Arsenal.
Aksi yang ditampilkan pemain antarabangsa Jerman itu sekaligus mendapat pujian daripada pengendali Arsenal, Arsene Wenger.
”Ozil menikmati permainannya dan saya harap anda juga menikmatinya,” kata Wenger kepada wartawan dalam sidang media selepas perlawanan.
”Anda melihat seorang pemain bola sepak yang hebat. Apabila anda mencintai bola sepak, itulah yang anda mahu saksikan.”
Dalam pada itu, Wenger turut memuji aksi CSKA Moscow walaupun mereka kecundang 4-1 pada perlawanan tersebut.
Wenger beranggapan kelab wakil dari Russia itu mendatangkan masalah buat anak buahnya.
”Ia adalah persembahan babak pertama yang menarik pada tahap yang tinggi, tetapi ianya tidak selesa,” jelas Wenger.
”Mereka merupakan pasukan yang begitu baik secara teknikalnya.”
”Kami menjaringkan beberapa gol yang hebat. Pada babak pertama ketika kedudukan 4-1, sasarannya adalah untuk tidak dibolosi lagi dan terus menjaringkan gol.”
”CSKA merupakan pasukan yang baik, mempunyai tahap teknikal yang baik. Mereka pantas untuk naik ke atas dan memberikan kami masalah terutamanya pada babak pertama.”
”Mereka sangat ‘mobil’, bijak dengan menggunakan bola dan mereka bermain dengan corak menyerang.”
”Kami tidak biasa melihatnya disini dalam saingan Liga Perdana Inggeris. Ianya membuatkan kami tidak selesa.”