Pengendali Barcelona, Ernesto Valverde berpuas hati dengan aksi yang dipamerkan anak buahnya dan menjelaskan bahawa beliau tidak kisah dengan dua jaringan sendiri yang dilakukan oleh pemain AS Roma pada pertemuan suku akhir pertama Liga Juara-Juara Eropah pagi tadi.
Pada perlawanan yang berlangsung di Nou Camp itu, Daniele De Rossi dan Konstantinos Manolas masing-masing tertampan bola ke gawang sendiri untuk kemenangan 4-1 memihak tuan rumah.
Walaupun dibantu dengan dua jaringan sendiri itu, Valverde ternyata tidak terganggu dengan ‘bantuan’ tersebut.
”Sepanjang musim terdapat pelbagai jenis permainan. Yang mana anda berhak mendapat lebih dari apa yang anda perolehi dan juga anda mendapat lebih dari apa yang patut anda dapat.”
”Kami menjaringkan gol yang sepatutnya, mereka menyerang kami dan menjaringkan gol yang dicari serta jaringan keempat (Luis Suarez) sangat penting buat kami.”
”Kami tidak kisah mereka menjaringkan gol sendiri. Sekiranya anda tidak mendekati pintu gol, anda tidak akan mendapat gol sendiri. Jika lawan menjaringkan gol sendiri, apa yang kami perlu lakukan?”
Barcelona kini sedang mengintai kejuaraan ‘treble’ selepas mereka menghuni tangga teratas La Liga dengan mencatatkan 76 mata, 9 mata dihadapan Atletico Madrid.
The Blaugrana mencatatkan 23 kemenangan dan tujuh keputusan seri manakala masih belum tewas selepas melalui 30 perlawanan liga musim ini.
Dalam saingan Copa del Rey pula, skuad bimbingan Ernesto Valverde ini akan membuat perhitungan menentang Sevilla pada perlawanan akhir yang akan berlangsung pada 22 April nanti.