Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekali lagi membuat kejutan apabila bertindak menamatkan kontrak penyerang import pasukan itu, Bruno Lopes dengan 3 pemain tempatan iaitu S. Veenod, Rozaimi Azwar an Faizol Nazlin.
Itu bermakna 4 pemain ini tidak akan beraksi dalam baki saingan Liga Super bersama pasukan Kelantan.
Menurut laporan daripada Berita Harian, Presiden KAFA Bibi Ramjani Ilias Khan berkata, pihaknya membuat keputusan untuk melepaskan empat pemain itu selepas mengambil kira beberapa faktor.
“Ya, kami lepaskan mereka dan meminta mereka mencari pasukan baharu menjelang jendela perpindahan kedua bulan depan.
“Kami membuat keputusan ini berdasarkan beberapa faktor banyak perkara kami teliti sebelum memutuskannya dan ia wajar dilakukan demi masa depan pasukan.
“Bagaimanapun, KAFA mengucapkan terima kasih dan selamat maju jaya kepada empat pemain ini atas sumbangan dan bakti mereka terhadap pasukan,” katanya.
Sebelum ini, skuad The Red Warriors itu turut melepaskan enam pemain termasuk pemain import dari Indonesia, Ferdinand Sinaga, Norfarhan Muhamad, bekas pemain PKNP, Sukri Abd Hamid, Shafiq Ab Rahman, bekas pemain Negeri Sembilan, Tengku Qayyum Ubaidillah dan pemain berketurunan Siam-Kedah, Hattaphon Bun An.
Norfarhan difahamkan telah sah menandatangani kontrak dengan sebuah kelab yang beraksi dalam saingan Liga FAM iaitu DA’R Wanderers dan Ferdinand Sinaga kembali ke kelab lamanya manakala nasib pemain lain yang dilepaskan tidak diketahui.
Bibi menjelaskan rombakan besar-besaran ini dilakukan bagi memastikan pasukan Kelantan menjadi lebih kuat dan mahu mengembalikan semula zaman kegemilangan pasukan itu.
“Memang sepatutnya kita perlu fokus untuk perlawanan seterusnya tetapi rombakan ini juga sebahagian usaha untuk mengembalikan semula kekuatan pasukan.
“Sekarang ini, kita sudah mempunyai seorang jurulatih yang tegas untuk membawa pasukan ini ke tahap lebih baik. Pastinya setiap jurulatih mahu pemain yang benar-benar boleh menyumbang kepada pasukan.
“Jadi, mahu atau tidak kita perlu lakukan demi pasukan. Oleh itu saya berharap agar semua penyokong TW memberi ruang dan terus memberi sokongan kepada pasukan,” katanya.